Thursday, October 25, 2007

Dapatkan t-shirt Bersih, kuningkan seluruh KL, 10 November ini

Harakahdaily
Thu | Oct 25, 07 | 3:15:12 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyeru rakyat Malaysia yang prihatin untuk 'menenggelamkan' bandaraya Kuala Lumpur dengan warna kuning 10 November ini.

Image

Jurucakap Bersih, Mohd Anuar Tahir berkata, untuk tujuan itu pihaknya mula menjual t-shirt bewarna kuning dengan lambang kempen Bersih kepada orang ramai yang ini menyertai perhimpunan terbesar itu.

Katanya, Bersih sudahpun bersedia untuk mengembleng rakyat dari seluruh negara untuk membanjiri Dataran Merdeka mulai jam 3 petang dan selepas itu berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum rakyat kepada Yang Di Pertuan Agong.

Sehubungan itu katanya, sesiapa yang berminat untuk mendapatkan t-shirt berkenaan boleh menghubungi petugasnya, Abdul Halim ditalian 019-2111572 atau layari www.bersih.org untuk keterangan lanjut.

"Kita akan membuka gerai jualan di Taman Melewar, sempena Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat, 28 Oktober ini," jelas beliau.

Menurut Anuar, sebagai permulaan kepada kempen tersebut, Bersih mengalakkan rakyat Malaysia yang prihatin supaya memulakan kempen dengan berpakaian kuning.

Katanya, kuning adalah warna yang diiktiraf antarabangsa sebagai lambang protes terhadap langkah yang tidak demokratik diambil sesebuah kerajaan.

Warna kuning juga katanya, adalah warna perjuangan kebebasan media.

"Oleh itu saya menyeru rakyat Malaysia untuk mula berpakaian kuning, mereka boleh juga memakai riben, tali leher, tudung, 'head band' atau 'arm band' dalam aktiviti harian mereka," serunya. - mr

No comments: