Thursday, October 25, 2007

Bahang pilihan raya makin dirasai

Oleh ABD. HALIM HADI

KUCHING 24 Okt. – Bahang pilihan raya umum kini semakin terasa apabila 2,700 peti undi lutsinar yang bakal digunakan semasa pilihan raya Parlimen akan datang tiba di stor Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak di Pending di sini, hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Sarawak, Takun Sunggah berkata, peti undi lutsinar yang diperbuat daripada plastik itu tiba dari Kuala Lumpur bersama-sama dengan kelengkapan pilihan raya yang lain.

“Semua peti undi ini akan diagihkan kepada 31 pegawai pengurus pilihan raya di seluruh negeri sebaik sahaja kita menerima beberapa lagi peralatan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Antara kelengkapan mengundi yang akan tiba ialah seperti petak undi (berpenghadang), poster pilihan raya dan borang-borang berkaitan dengan proses pengundian.

Menurut Takun, selain menggunakan peti undi telus cahaya, SPR juga akan menggunakan penanda dakwat di kuku atau jari tangan yang bertujuan meningkatkan keyakinan terhadap ketelusan pilihan raya akan datang.

‘‘Seperti diumumkan sebelum ini, setiap pengundi akan dicalitkan dengan dakwat kekal di atas jari telunjuk tangan sebelah kiri sebelum diberikan kertas undi selepas pengesahan nama di dalam daftar pemilih SPR,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga 31 Julai tahun ini, sebanyak 915,873 pengundi berdaftar direkodkan di Sarawak.

Katanya, kira-kira 14,000 petugas pilihan raya dijangka bertugas di negeri itu selepas mereka menamatkan kursus pada 12 September lalu.

Takun bagaimanapun memberitahu, pusat-pusat mengundi di negeri itu masih belum ditentukan lagi.

No comments: