Oleh Norfatimah Ahmad
KUALA LUMPUR: Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah mengambil keterangan semua pihak, termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan peguam kanan, Datuk V K Linggam berhubung klip video yang didakwa memaparkan perbualan telefon mengenai urusan pelantikan hakim.
Semua keterangan dirakam secara berperingkat sejak penubuhan Panel Bebas bagi menentukan kesahihan rakaman klip video yang didakwa perbualan telefon seorang peguam dengan seorang hakim kanan.
Keterangan Ahmad Fairuz diambil pegawai BPR sebelum Aidilfitri, manakala keterangan Linggam lebih awal dan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dirakam baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, yang mengesahkan perkara itu, bagaimanapun enggan mengulas lanjut perkembangan siasatan.
"Diharap pihak yang memiliki pita rakaman asal klip video segera tampil bagi memudahkan tugas kami menjalankan siasatan," katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, Abu Kassim berkata, setakat ini, siasatan kes belum selesai dan pihaknya akan meneruskan usaha memastikan ia selesai dalam jangka masa terdekat.
Sebelum ini, Anwar dalam kenyataannya berkata beliau akan menyerahkan salinan sebenar klip video 14 minit 16 saat itu kepada BPR hari ini untuk dianalisa secara teknikal bagi mengesahkan ketulenannya.
Bagaimanapun, kata Anwar klip video yang asal ada pada sumber yang memberikan kepadanya.
Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan dilaporkan sebagai berkata Anwar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah jika enggan menyerahkan bukti berkenaan.
Panel akan bersidang di ibu pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Tingkat 30, Menara Tun Razak di Jalan Raja Laut, di sini.
Bagaimanapun, bagi tujuan pentadbiran, mereka yang ingin menghadiri sidang itu perlu memberi nama dan nombor kad pengenalan terlebih dulu kepada sekretariat panel di Pejabat Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment