Thu | Oct 25, 07 | 10:07:24 am MYT
Saya memang kagum dengan Perdana Menteri dan ada kalanya geram juga. Alkisahnya Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata bahawa dia tidak kisah jika semua orang berani mengkritik dirinya. Mungkin, Abdullah berasa ramai orang tidak mengkritik dirinya secara terbuka kecuali bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Semua orang boleh menegur Abdullah? Betulkah begitu? Atau, hanya orang-orang tertentu saja? Mungkin, jika musuh mengkritik, kita tidak boleh menerima, tetapi adakah kawan mengkritik, kita boleh diterima? Sebabnya, sesetengah orang memang bersikap begitu.
Sebabnya, sesetengah orang memang tidak kisah jika kritikan itu datang daripada rakannya, tapi awas jika kritikan itu datang daripada seteru, nescaya tidak diterima teguran ikhlas itu sampai kiamat. Malah kritikan seteru dianggap penghinaan.
Bukan penghinaan
Kita tidak dapat membezakan antara kritikan dengan penghinaan. Boleh dikatakan ramai orang dapat menerima kritikan, tetapi tidak ada seorang manusia pun yang mampu menerima penghinaan.
Beliau menyeru golongan ini supaya bercakap benar walaupun pahit. Jangan terlalu mahu mengambil sikap menjaga hati beliau sebagai Perdana Menteri. Golongan ini mungkin juga wakil-wakil rakyat termasuklah menteri-menteri kabinet sendiri.
Tetapi jika dikritik lebih-lebih, nanti lain pula jadinya. Pernah suatu ketika, mungkin didorong rasa geramnya kepada ‘ahlul bloggers’, Abdullah berkata, "kesabarannya dan kesabaran kerajaan ada sempadannya". Jadi ada dua ayat berbeza yang mungkin ditujukan kepada dua puak berbeza.
Jadi, bertolak kepada kedua-dua kenyataan ini, yang mana satu pendirian Abdullah yang sebenar lagi sejati? Atau ungkapan katakanlah yang benar walaupun pahit itu adalah terhad kepada insan di sekeliling beliau yang bergelar rakan-rakan politik beliau termasuk menteri-menteri sahaja?
Padahal, sebelum ini bukan tiada pimpinan pembangkang yang mengkritik beliau termasuk ahll-ahli Umno sendiri. Itu belum termasuk kritikan bloggers yang berwibawa. Ada bloggers merapu. Hakikat merapu itu harus diakui. Tapi, kalimat penghinaan yang menyamakan bloggers sebagai beruk, kera dan monyet itu tentunya keterlaluan.
Ini kerana, Tuhan sendiri pernah "menghina" Bani Israel: "Kuunuu Qiradatan Khasiin …" (Jadilah kalian kera yang hina-dina). Hanya Allah sahaja yang berhak menghina manusia. Tuhan yang menciptakan manusia dengan kelemahan. Maka, kalimah itu adalah hakNya untuk menghina.
Tapi Tuhan menghina dengan bijaksana. Ada sebab Tuhan menghina. Dia tidak menghina sesuka hati melainkan setelah dilihatNya kedegilan Bani Israel sendiri. Apa kejadahnya kita menyamakan insan lain dengan kera, jika hidup menumpang dari kekayaan mertua dan bersifat oportunis tak tentu arah pula? Sebaliknya, Allah tidak hidup menumpang, malah Dialah penguasa alam ini.
Bukan merapu
Bloggers bagaikan wartawan kerdil. Ramai blogger yang bukan merapu, menulis dengan tujuan menegur Abdullah secara ikhlas. Jadi, teguran ikhlas bloggers ini janganlah diberukkerakan. Kera tidak boleh menegur tuannya. Antara haiwan yang memberi teguran kepada nabi adalah burung.
Burung itu adalah Hud-Hud – ‘wartawan’ pertama di dalam sirah perjuangan menegakkan tauhid bersama Sulaiman. Diriwayatkan, Sulaiman marah Hud-Hud yang lewat menghadiri perbarisan.
"Maka, tidak lama kemudian (datanglah Hud-Hud), lalu ia berkata: "Aku mengetahui suatu yang kamu belum mengetahuinya; dan kubawa kepadamu dari negeri Saba ’ suatu berita penting yang diyakini." (surah an-Naml: 22)
Hud-Hud menyampaikan ‘berita’ atau ‘an-Naba’’ yang penting bagi mengisi makna kenabian Nabi Sulaiman a.s. Nabi-nabi adalah pembawa an-Naba’ (berita). Sebab itulah mereka digelar nabi dan berita itu adalah mengenai dosa – pahala yang membawa mereka ke syurga – neraka di akhirat.
Demikianlah teguran burung Hud-Hud ke atas Sulaiman. Kera atau beruk cuma menurut perintah atau seperti kakak tua yang menurut kata sebagai ‘cyber-troopers’ tajaan Umno. Tahap teragung bagi seekor
beruk kera adalah pingat jasa kebaktian yang dimasyhurkan sebagai ‘beruk mat yeh’. Tidaklah diketahui asal-usul perkataan ini. Tetapi, menurut seorang ahli hikmah bernama Fansuri, kera spesis ‘mat yeh’ ini mungkin berasal daripada ‘Muhammad Ya’ atau ‘Muhammad Yes’. Beruk ini akan berkata ‘ya’, ‘yes’ terhadap setiap arahan ketuanya tanpa bantahan. Lama kelamaan, ia dipendekkan dan dimasyhurkanlah sebagai pingat jasa kebaktian ‘beruk mat yeh’. Wallahu 'alam.
Marah-marah Nabi Sulaiman kepada Hud-Hud adalah dirujuk sebagai ayat al-Quran dalam surah an-Naml ayat 20 dan 21.
“Dan Sulaiman pun memeriksa burung-burung lalu berkata: “Kenapa aku tidak melihat Hud-Hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir? Sungguh aku benar-benar akan mengazabnya dengan azab yang keras, atau benar-benar menyembelihnya kecuali jika benar-benar dia datang kepadaku dengan alasan yang terang.â€
Marah-marah Abdullah
Di sini kita lihat marah-marah Abdullah mungkin ada persamaannya dengan marah-marah Nabi – Raja Sulaiman. Kedua-duanya adalah pimpinan negara. Tapi mereka berbeza dari segi kerasulan dan warisan hikmah. Dan semburan api kemarahan kepada golongan mana itu tentunya berbeza.
Abdullah anak seorang ulama dan cucu seorang mufti. Tetapi, beliau tidaklah mewarisi kemuftian dan keulamakan ayahandanya dan datuknya. Sedangkan, Sulaiman mewarisi kenabian, kerasulan dan kerajaan Daud a.s. kerana kecerdikannya membantu ayahnya menyelesaikan suatu masalah.
Abdullah mewarisi kerajaan setelah Mahathir mengetepikan TPM-TPM sebelum ini. Jadi, Allah telah menggerakkan hati Mahathir bagi memilih Abdullah sebagai penggantinya. Jasa sumbangan Abdullah sebelum ini ke atas rakyat Pulau Pinang dan Malaysia seluruhnya perlulah kita nilai lagi.
Syahadan, bloggers yang menggalas tugas dan mengambil alih fungsi wartawan sebenar ini boleh disamakan dengan Hud-Hud kecil dan bukan kera. Menjadi tugas mertua di dalam menasihatkan menantunya terlebih dahulu sebelum menghamburkan kata bersifat menghina ke atas oran g lain.
Kalau sekadar menyamakan bloggers dengan penyanyi karaoke yang ‘syok sendiri’, hal itu boleh diterima lagi. Ada juga nabi yang merdu suaranya sebagai Nabi Daud yang dianugerahkan Zabur. Kira boleh tahanlah sindiran seumpama itu. Lagi pula, bloggers Malaysia seperti rakyat Malaysia lain juga yang sentiasa ada ruang untuk bern yanyi di pertandingan Klasik Nasional anjuran RTM.
Kita menulis begini bukannya apa. Berhati-hatilah bila bercakap. Kalau pimpinan negara rasa dia boleh marah ikut sedap mulut, rasanya mereka perlu membaca kemarahan rakyat terlebih dulu. Rakyat marah bukannya dalam sehari dua ini.
Gumpalan kemarahan rakyat yang dicetuskan ahlul bloggers boleh bertukar wajah sebagai badai tsunami November yang merempuh tiang negara-kehakiman-polis-tentera-kerajaan dan lainnya.
Sekarang, mari kita meneka apakah sebenarnya yang menyebabkan Abdullah berkata demikian. Beliau berkata demikian dalam fasa-fasa pertemuannya dengan rakyat Pulau Pinang. Selepas itu, ada suatu sidang media di mana wartawan bertanya: "Err.. Dato’ Seri, apa nasib mangsa tsunami yang masih belum mendapat tempat penginapan yang telah lama tersedia buat mereka?"
Cara Abdullah menjawab memang menunjukkan beliau sedang marah. Beliau berhak marah dan memang layak beliau marah. Lebih kurang jawapan beliau berbunyi begini: “Kenapa mereka tak boleh duduk di situ lagi? Sepatutnya mereka dah boleh duduk di perumahan baru jika dah siap.â€
Hal ini tentulah mengaibkan kerana beliau anak Tanjung (nama asli Pulau Pinang). Mungkin, hal inilah yang membawa dan mendorong kepada pengucapan Abdullah tadi – beliau mahukan oran g di sekeliling beliau termasuk menteri-menteri dapat memberikan maklumat yang tepat dan jelas.
Jauh lebih lama sebelum itu saat Abdullah menjadi Perhubungan Umno Pulau Pinang dahulu, ada sekelompok umat yang menderita di Tanjung Tokong kerana tanah warisan mereka diambil oleh UDA Holdings. Perkembangan terbaru, kawasan itu akan dibangunkan secara ‘super fast-track’.
Derita orang Tanjong
Itulah yang sempat penulis ingat. Sebelum itu juga, dalam suatu ucapannya ketika merasmikan Koperasi Tanjung Tokong, beliau berkata agar tanah Tanjung Tokong itu dikembalikan kepada koperasi itu. Jadi, selain insiden tsunami yang menimpa Tanjung sekitar 2004. Tanjung Tokong juga perlu diberikan perhatian. Oh, banyak lagi. Tu… Kg wakaf Haji Kassim tu apa cerita?
Fuh, banyak betul jika nak kita korek segala khazanah derita orang Tanjung ini. Mahu diharapkan menteri-menteri dan wakil rakyat ini mahu cerita ini semua, Abdullah sendiri sudah tidak percaya. Semua yang disampaikan kepadanya sebagai PM adalah manis belaka. Tiada yang masam, pahit.
Jadi, negara kita bukan sahaja menghadapi masalah ‘delivery system’ seperti mana yang berlaku dalam kes banjir di Johor tidak lama dahulu, di mana masih ramai yang tidak mendapat bantuan sedangkan peruntukan telah ada. Malah, PM berdepan dengan sistem penyampaian maklumat.
Sistem penyampaian maklumat ini antara PM–Menteri Kabinet–Wakil Rakyat ini bukan baru. Ia berlaku sejak lama dulu. Tetapi, Mahathir mempunyai cara untuk mengendalikan masalah ini, iaitu beliau sentiasa menyimpan buku nota kecil di dalam poketnya.
Diriwayatkan, menteri-menteri atau sesiapa sahaja berasa risau dengan buku nota kecil berhantu ini. Mereka sering resah gelisah saat Mahathir mengeluarkan buku nota kecil tersebut. Jadi, saya sebagai pengkritik Abdullah yang konsisten, selain mengucapkan selamat hari raya Aidil Fitri maaf zahir dan batin, justeru saya mengusulkan saranan kepada Abdullah mengenai beberapa perkara.
Pertamanya, Abdullah perlu menyiapkan sebuah buku nota kecil seperti Mahathir. Di mana-mana tempat lawatan pun, Abdullah mencatitkan segala perkara yang difikirkan perlu diperbetul segera oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk JKKK.
Kedua, Abdullah perlu menyamar untuk mengetahui perkara sebenar. Sultan Alaudin Riayat Syah tentunya insan kamil yang boleh disandarkan kepada penyamaran ini. Terkenal bahawa baginda menangkap sendiri pencuri dan perompak yang berleluasa dalam Melaka. Mungkin Abdullah perlu merujuk SB, sebab mereka ini pakar dalam bab penyamaran. Tapi, hal ini sukar juga. Pada permulaan Abdullah menjawat jawatan PM, beliau membuat lawatan mengejut ke Jabatan Imigresen. Tapi, bagaimana wartawan boleh tahu? Kalau mahu menyamar, kita kena buat senyap-senyap. Biarlah selepas meninggal, orang tahu semua itu.
Selepas wafatnya Saidina Ali k.w, janda-janda menangisi kematiannya kerana tiada siapalah lagi yang boleh menggalas gandum ke rumah mereka pada waktu malam. Tentu sukar bagi Abdullah. Tapi kena cuba jika beliau sedar masalah ‘sistem penyampaian maklumat’ ini masih berlaku.
Blog sendiri
Ketiga, Abdullah perlu membuat blog sendiri. Kini lebih banyak blog telah muncul bak cendawan. Pilih saja yang mana satu–wordpress, blogspot, multiply, friendster, xanga, flickr dan lain-lainnya.
Mungkin Abdullah boleh mengguna Frienster. Di Malaysia saja ada 3.1 juta pengguna Friendster sejak dibangunkan pada 2002 di Cali fornia . Sehingga kini, ia berjaya menarik 44 juta ahli seluruh dunia. Ini akan menjadikan Friendster Abdullah (jika beliau mahu) akan diziarahi ramai orang.
Melalui Friendster, Abdullah boleh mengirim e-mel peribadi, berkongsi gambar beliau, membuat post bulletin, meletakkan video peru tusan aidil fitri, aidil adha dan lain-lain dan paling penting, friendster juga menyediakan blog!
Menurut Alexa.com jumlah para pengunjung Friendster di Malaysia menjangkau 22.4%, 21.8% di Filipina, 20% di Singapura, 12.7% di Indonesia . Maknanya dalam warga Asean, rantau Nusantara dan Asia Tenggara ini, Friendster Malaysia mencatatkan kadar kepengunjungan tang tinggi.
Keempat, Abdullah perlu sentiasa membawa PDA yang akan online 24 jam dan 7 hari seminggu. Abdullah perlu selalu online Yahoo Messenger bagi memudahkan beliau chat dengan rakyat.
Jika beliau dapat melaksanakan semua ini, tentu rakyat tidak marah cara menggunakan teknologi hasil daripada cukai rakyat. Ini lebih berfaedah. Mungkin ada anak-anak muda remaja yang boleh chatting bersama Abdullah untuk bertanya-bila keluarga dan mangsa tsunami dapat berpindah ke rumah baru. Jadi Abdullah mendapat maklumat cepat ketimbang khabar menteri dan wakil rakyat yang suka mengangguk dan sentiasa membawa perkhabaran yang menyenangkan beliau itu.
Kelima, jika bersetuju, mungkin beliau boleh iklankan kewujudan blog beliau di RTM, war-warkan kepada Buletin Utama dan berita pada waktu perdana dan lain-lain stesen penyiaran. Saya yakin, blog ini paling ramai dilawati walau tanpa wang lumayan dan hadiah berfaedah yang ditawarkan.
Kalau ada blog friendster seperti ini, mudahlah pelajar mahu mengadu mengenai masalah PTPTN mereka. Jadi, Abdullah perlu manfaatkan teknologi ini.
Pemberontakan pelajar
Ketika menulis ini, saya terbaca berita bahawa di Venevuela sekarang, Hugo Chavez berhadapan dengan pemberontakan pelajar di Caracas. Ini berlaku kerana, Chaves dilaporkan telah meminda perlembagaan sehingga menyebabkan mereka khuatir hal itu akan menyekat kebebasan rakyat.
Chavez, Ahmadinejad, Castro tergolong dalam kategori pimpinan yang berani menuai kemarahan Bush saat ini. Dan ramai pihak menghormati mereka di atas sikap melawan itu. Rupa-rupanya, di Caracas, masih ada lagi ruang-ruang pemberontakan pelajar ke atas Chaves. Jadi, hati-hati duhai PM terhadap isu PTPTN (KWSP) ini. Tangani dengan bijak dan banyak berbual dengan pelajar.
Sekian, ampun dan maaf jikalau ada keterlanjuran kata menghiris jiwa mencederakan perasaan sesiapa yang membaca coretan ini termasuk PM kita yang dikasihi. Bak kata Fansuri, marah dan sindirlah seseorang berpada-pada, menghina orang jangan sekali.
Kepada Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, kalau beliau membaca coretan yang disampaikan melalui Setiausaha Akhbar beliau, maka saya ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin … Allah Akbar, Hidup Melayu, Merdeheka!!!
No comments:
Post a Comment