Thu | Oct 25, 07 | 1:29:54 pm MYT
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Hrkh) - Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib hari ini menolak usul yang dibawa Presiden Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahu Parlimen membincangkan penubuhan Suruhanjaya Diraja menyiasat kes 'Pita Lingam'.
Wan Azizah yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, penolakan usul itu dibuat Speaker di bawah 'Perkara 18 (2) Aturan Urusan Mesyuarat' iaitu perkara itu tidak berkehendak disegerakan.
Beliau yang kecewa dengan penolakan itu berkata, isu tersebut melihatkan penyelewengan pelantikan hakim yang akan menjejaskan sistem keadilan terhadap rakyat jelata.
Baginya alasan bahawa adanya panel bebas menyiasat kes itu tidak boleh diterima memandangkan panel yang dianggotai tiga individu antaranya, Tan Sri Haidar Mohd Noor; Tan Sri Lee Lam Thye dan Dato' Mahadev Shankar setakat ini tidak berfungsi.
Beliau telah menghantar surat usul itu pada September lalu, namun telah ditolak atas alasan bahawa ia tidak perlu disegerakan.
"Ia melibatkan orang ramai dan institusi kehakiman negara dan nama baik Malaysia di mata dunia.Perlu disegerakan penubuhan (Suruhanjaya Diraja) kerana sudah ada bukti.Namun Speaker kata ini tak perlu disegerakan kerana ada panel. "Dalam penghujahan, saya kata panel bebas tiada kuasa untuk memanggil saksi-saksi terlibat,"katanya dalam sidang medianya sebaik sahaja tiba di Pejabat Anwar, dari Sidang Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
"Biarpun begitu kita masih akan mengusahakan penubuhan Suruhanjaya Diraja dan terus mendesak kerajaan menubuhkannya,"katanya.
Terdahulu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang sepatutnya bertemu dengan Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) bagi mendapatkan bukti 'pita Lingam' hari ini telah membatalkan pertemuan itu dengan hanya menelefon Anwar pada jam 11.00 pagi tadi.
Demikian kata Anwar dalam satu sidang media sejurus selepas mendapat dua panggilan dari BPR di pejabatnya di Petaling Jaya pagi tadi.
BPR bagaimanapun tidak memaklumkan punca sebenar pembatalan tersebut termasuk tidak memberi tarikh pertemuan selanjut yang bakal diadakan, kata Anwar.
"Ini bukti yang dimahukan BPR ada di tangan saya,"sambil menunjukkan 'thumb drive' yang dikatakan mengandungi salinan sahih rakaman pita Lingam itu.
Beliau mengecam dan memberi amaran kepada BPR supaya mengambil bukti itu dalam masa lima minit (sambil menunjukkan 'thumb drive' yang dikatakan mengandungi salinan sahih pita Lingam) dari jam 12.00 tengahari tadi.
"Jika dalam masa lima minit BPR tidak sampai, bukti di tangan saya akan hilang,"kata Anwar yang tidak mahu BPR mengganggunya di masa akan datang memandangkan hari ini adalah hari yang sebenarnya dijanjikan dalam notis BPR kepada Anwar untuk menyerahkan bukti.
Bagaimanapun sehingga berita ini ditulis, BPR tidak muncul bagi mendapatkan pita itu, dan seramai hampir 150 orang masih berada di pekarangan pejabat Anwar termasuk wartawan dan jurugambar dalam dan luar negara.
Anwar mengecam penggunaan Seksyen 22 Akta Pencegah Rasuah yang memperuntukan pegawai penyiasata BPR bagi mendapatkan bukti daripada individu yang terlibat dalam rasuah, dan bukannya pelapor atau pemberi maklumat.
Dalam pada itu beliau juga telah dinasihatkan oleh peguamnya untuk mencabar tindakan BPR itu di mahkamah kerana katanya terbukti BPR menyalahgunakan akta tersebut. - mks.
No comments:
Post a Comment