Thursday, October 25, 2007

Klip video: Ketua Hakim Negara beri keterangan

Oleh Ruhaidini Abd Kadir dan Khairul Azran Hussin


Tun Ahmad Fairuz.

PUTRAJAYA 24 Okt. – Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan beberapa hakim telah memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan klip video yang memaparkan visual perbualan seorang peguam kanan dengan seorang hakim.

Selain mereka, BPR turut merakam keterangan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Keterangan mereka direkod sebelum Aidilfitri lalu.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan memberitahu Utusan Malaysia, Ahmad Fairuz, Tengku Adnan dan beberapa hakim itu merupakan antara individu yang namanya disebut dalam klip video tersebut.

‘‘Selain mereka, lebih 10 orang telah dipanggil untuk membantu siasatan dan direkodkan keterangan mereka,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ahmad Said, BPR kini hanya memerlukan rakaman asal klip video berkenaan untuk melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan.

Katanya, BPR memerlukan keseluruhan rakaman klip video selama 14 minit 16 saat itu untuk proses pembuktian.

Isnin lalu, BPR mengeluarkan perintah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 supaya mengemukakan klip video asal rakaman tersebut selewat-lewatnya esok.

Sebelum menyerahkan surat perintah itu, BPR turut merekodkan keterangan daripada Anwar selama kira-kira tiga jam dan ia merupakan keterangan kedua Anwar yang direkodkan oleh BPR.

Pada 18 September lalu, BPR mula menjalankan siasatan bagi membantu Panel Bebas Khas menentukan kesahihan rakaman klip video yang memaparkan visual perbualan seorang peguam kanan dengan seorang hakim, seperti dibangkitkan oleh Anwar.

Rakaman video itu memaparkan seorang peguam berbual dengan seorang hakim mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara pada 2002.

Panel Bebas Khas itu dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd. Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar.

No comments: