Saturday, October 27, 2007

Anwar fail di mahkamah ketepikan arahan BPR

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah di bawah Seksyen 22(1)(b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 supaya beliau menyerahkan klip video asal perbualan telefon peguam kanan dengan seorang hakim kanan.

Permohonan melalui notis usul itu difailkan oleh Anwar melalui firma guaman Tetuan William Leong & Co. di Bahagian Pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, petang ini.

Anwar selaku pemohon menamakan Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebagai responden.

Dalam notis usul itu, beliau memohon supaya perintah agar beliau mengemukakan dokumen (klip video asal) di bawah Seksyen 22(1)(b) akta tersebut yang diserahkan kepadanya pada 22 Oktober lalu adalah tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi undang-undang.

Dalam afidavit bagi menyokong permohonannya, Anwar memberi alasan bahawa pengeluaran perintah tersebut adalah tidak rasional dan tidak munasabah memandangkan beliau tidak boleh menyerahkan sesuatu yang tidak dimilikinya.

Anwar yang menyebut dirinya dalam afidavit berkenaan sebagai Perunding dalam Pengurusan dan Ekonomi menyatakan, responden juga berniat jahat (mala fide) dan menyalahgunakan kuasa.

‘‘Pengeluaran perintah tersebut merupakan satu ancaman langsung terhadap kebebasan peribadi saya dan satu pelanggaran hak perlembagaan saya. Memandangkan pengeluaran perintah tersebut tidak mempunyai asas undang-undang, saya percaya bahawa ia mempunyai motif politik,’’ ujarnya.

Memetik laporan akhbar hari ini, BPR menyatakan, kegagalan Anwar menyerahkan klip video asal itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 29(c) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Menurut kenyataan BPR tersebut, Anwar sebelum ini telah menghubungi pegawai BPR untuk mengambil satu pen drive yang mengandungi klip video selama lapan minit daripadanya.

Sementara itu, Anwar dalam satu laman blognya menyatakan bahawa beliau bersedia menyerahkan naskhah sahih rakaman itu yang boleh digunakan untuk memastikan kesahihannya.

“Malangnya, mereka gagal untuk hadir semalam seperti yang dijanjikan dan berkata mereka akan menghubungi saya segera,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa BPR menumpukan perhatian menangani isu pokok dalam kes itu iaitu menyiasat jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa seperti yang didedahkan melalui rakaman klip video tersebut.

“Kaedah sebaiknya adalah dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk memastikan penyiasatan rapi dan teliti,’’ ujar beliau.

No comments: