Saturday, October 27, 2007

Bekas Menteri Besar Johor, Othman Saat meninggal dunia

JOHOR BAHARU 27 Okt — Bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Othman Saat, 80, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Pandan dekat sini pagi ini akibat septisemia (keracunan darah).

Menurut anak perempuannya, Shaukat, bapanya yang memegang jawatan Menteri Besar selama 16 tahun dari 1967 sehingga 1982 meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi.

Katanya, bapanya dimasukkan ke HSI kira-kira dua bulan lepas dan pada 2 Okt lepas menjalani pembedahan di kaki kanannya.

Anak-anak, cucu dan saudara mara berada di sisi bapa semasa beliau menghembuskan nafas terakhirnya, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Allahyarham mempunyai sembilan orang anak hasil daripada tiga perkahwinan, 32 cucu dan tujuh cicit.

Beliau meninggalkan isteri keduanya Kamariah Buyung manakala isteri pertamanya Rokiah Alwi telah meninggal dunia. Perkahwinan beliau dengan isteri ketiganya Aminah Hussein berakhir dengan penceraian.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Tengah, Muar pada 4 April 1927 telah aktif dalam Umno sejak parti itu ditubuhkan pada 1946.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ketiga pada Februari 1967 ketika berusia 43 tahun.

Sementara itu, antara mereka yang menziarahi jenazah allahyarham di HSI ialah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, Exco kerajaan negeri, pemimpin Umno dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Menurut Shaukat, jenazah bapanya akan dimandikan dan dikafankan di HSI sebelum dibawa balik ke rumahnya di Stulang Baru di sini.

Katanya jenazah allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, di sini selepas solat Zohor.

— Bernama

No comments: