Sat | Oct 27, 07 | 3:24:56 pm MYT
PULAU PINANG, 27 Okt (Hrkh) - Walaupun pergolakan Umno Jelutong didakwa selesai semalam setelah ketua Pergerakan Pemuda Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman dilantik menjadi Ketua Penaja namun Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Pulau Pinang masih dianggap pemimpin terlemah kerana membiarkan masalah dalaman Umno Jelutong berpanjangan ekoran masalah rasuah.
Sepatutnya, Abdullah yang telah lama mengambil alih kepimpinan daripada Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipecat keahlian Umno melakukan pembaharuan untuk menyelamatkan kedudukan Umno Jelutong agar tidak melakukan permainan kotor yang sekaligus menjejaskan martabat Umno di mata rakyat.
Pemilihan Abdullah yang dikatakan sesuai dengan latar belakangnya yang bercorak agama akhirnya gagal untuk membendung rasuah yang semakin bermaharajalela dalam selimut Umno.
Masalah dalaman Umno Jelutong terus menjadi-jadi di zaman Dato' Rashid Ismail ketika menjawat jawatan Ketua Bahagian apabila dikaitkan dengan 'politik wang' dan terus ketara di bawah kepimpinan Dato' Mohd Noor Husein yang mengalahkan Dato' Rashid dengan kemenangan berapa undi sahaja.
Akhirnya, Dato' Rashid kembali berkuasa apabila berjaya mengalahkan seteru politiknya Dato' Mohd Noor Husein sehingga membawanya ke tali pengantungan bahagian apabila terbukti perbuatannya melanggari displin parti.
Untuk menyelamatkan kedudukan politik Umno di Jelutong, Umno Malaysia menamakan Ketua Menteri Melaka, Dato' Ali Rustam yang baru memenangi jawatan Naib Presiden Umno menjadi penyelaras sementara Umno Jelutong tetapi tidak lama kemudian beliau dikatakan 'lari malam' kerana tidak tahan dengan karenah berpuak-puak dalaman parti itu.
Selepas Ali Rustam gagal melakar sejarah untuk menyelamatkan kemelut kepimpinan Umno di Bahagian Jelutong akhirnya Presiden Umno kini mengarahkan tokoh dari Bukit Gelugor, Dato' Omar Fauzar bersama jentera yang dibarisi oleh Setiausaha Umno Negeri, Dato' Azhar Ibrahim; Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail; Ketua Umno Bukit Mertajam, Dato' Musa Sheikh Fazir dan Ketua Umno Bagan, Dato' Latif Mirasa.
Memandangkan, Dato' Omar Fauzar tidak disenangi ahli Umno di Jelutong akhirnya 44 cawangan Umno di situ terus macam 'ayam kehilangan ibu' dan kini masing-masing membawa haluan masing-masing.
Maka sebab itu, tidak hairan bila berlaku sesuatu isu di Jelutong serpihan kepimpinan yang ada cuma di barisan belakang tidak berani ke hadapan membantu masyarakat melayu Islam secara bersungguh khuatir diberikan pengharapan baru sedangkan mereka sendiri tiada kepimpinan.
Satu persatu masalah yang terjadi di sekitar Jelutong rakyat lebih percayakan pembangkang terutamanya PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) untuk membantu mengatasi kegiatan meratah perkampungan saki-baki penduduk melayu di sekitar Jelutong.
Tetapi, apakah daya kini suasana bagaikan 'telur di hujung tanduk' dan semasa Umno berkuasa mereka sendiri didakwa petualang apabila ada di antara kepimpinan mencari kesempatan sebagai broker membeli tanah milik orang melayu untuk dijual atas nama pembangunan.
Walaupun peranan PAS dan KeADILan di situ terlalu kecil untuk bersama penduduk namun sebagai pembangkang ramai masyarakat melayu sudah celik mata memandangkan Umno tidak mampu melangkah kerana tangan dan kaki diikat tanpa tali.
Kes membabitkan perkampungan Jalan Masjid, Jelutong dengan Syarikat Concord Land Sdn Bhd masih menjadi tanda tanya kerana sampai hari ini penduduk ditipu untuk diberikan gantian rumah.
Penduduk Pangsapuri Mutiara Idaman Dua bertelagah dengan Syarikat Landserve Managment Sdn Bhd yang tidak mengawasi kecurian harta benda seperti kecurian butang lif, Perkampungan Telaga Rendah juga menghadapi masalah perit dengan Multiway Contractsult Sdn Bhd kerana tidak menepati syarat rumah serta pembinaan surau bagaikan stor barangan dan Kampung Dodoi Belakang Masjid Wan Chik Ariffin dengan Crytal Prestige Sdn Bhd yang tidak membina peparitan sebagaimana yang dijanjikan sehingga mengakibatkan banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Kesemua kes berkenaan, Umno yang berlagak sebagai tulang belakang orang melayu tidak jenguk muka langsung mungkin takut di seret bersama menanganinya.
Sebaliknya PAS dan KeADILan yang belum pasti menang di Parlimen Jelutong kuat bekerja bukan kerana faktor pilihanraya tetapi atas rasa tanggungjawab parti terhadap rakyat.
Pernah pada tahun 1980-an PAS meletakkan Cikgu Karim Pak Wan Chik sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Pinang namun tewas kerana kepercayaan pada Umno begitu menebal.
Melihatkan faktor tersebut Abdullah patut mencari alternatif membantu penduduk parlimen Jelutong yang sudah muak dengan gelagat kepimpinan yang hanya mementingkan kedudukan daripada bersama menangani masalah penduduk yang saban hari dalam dilema. - mks.
No comments:
Post a Comment