Saturday, October 27, 2007

Imej Jabatan Kehakiman tidak terjejas

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Imej Jabatan Kehakiman negara tidak terjejas walaupun Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan beberapa hakim lain telah dipanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk memberi keterangan berhubung siasatan klip video.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kesahihan klip video perbualan peguam kanan dengan seorang hakim itu juga sebenarnya belum ditentukan dan BPR masih menunggu untuk mendapatkan rakaman asal.

“Kita kena tunggu dahulu. Buat masa ini saya anggap perkara ini seolah-olah kes surat layang sahaja,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Nazri, penyiasatan BPR ke atas Ketua Hakim Negara dan mana-mana menteri tidak perlu dimaklumkan kepadanya kerana agensi itu merupakan sebuah badan bebas.

“Tak perlu. BPR boleh siasat siapa sahaja tanpa memberitahu saya,” ujarnya.

Semalam, Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim telah memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan klip video yang memaparkan visual perbualan seorang peguam kanan dengan seorang hakim.

Selain mereka kata Ahmad Said, BPR turut merakam keterangan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Keterangan mereka direkod sebelum Aidilfitri lalu.

No comments: