KUALA LUMPUR 26 Okt. – Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin mendakwa ada pihak memanipulasi kes klip video perbualan telefon seorang peguam kanan mengenai pelantikan hakim bertujuan meraih populariti.
Menurutnya, individu berkenaan sengaja berbuat demikian untuk mengembalikan ingatan masyarakat kepadanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu yang dimaksudkan itu.
‘‘Klip video itu hanya digunakan sebagai batu loncatan untuk memastikan cerita tentang individu tersebut sentiasa ada di dada akhbar setiap hari.
‘‘Berapa ramai orang yang ada kemudahan Internet dan membaca blog setiap hari, jadi surat khabar digunakan sebagai medium untuk membuatkan rakyat ingat kembali kepadanya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kualiti Radio Televisyen Malaysia (RTM) 2007 di Auditorium Perdana, Wisma Radio, Angkasapuri hari ini.
Menurut Zainuddin, tindakan individu itu hanya merupakan strategi pilihan raya beliau untuk mempromosi diri dengan menggunakan populariti yang diperolehi daripada kes klip video tersebut.
Tambahnya, individu berkenaan yang hampir tenggelam dalam arus politik negara tiba-tiba menjadi sebutan apabila timbul kes klip video berkenaan.
‘‘Tidak salah lagi, ini semua hanya satu strategi politik pihak tertentu untuk membuatkan rakyat sedar bahawa individu itu masih wujud di negara ini,’’ jelasnya.
Menurut Zainuddin, masa akan menentukan sama ada klip video itu sahih atau tidak dan muslihat yang terselindung di sebalik kes itu.
Klip video selama lapan minit itu didakwa menunjukkan visual seorang peguam terkenal berbual melalui telefon dengan seseorang yang dikatakan hakim kanan mengenai pelantikan hakim di negara ini pada 2002.
Klip video itu dikatakan disebarkan di Internet oleh parti pembangkang pada 18 September lalu.
No comments:
Post a Comment