Saturday, October 27, 2007

Kerajaan jamin beri perlindungan pada saksi kes klip video -Abdullah

KUALA LUMPUR 27 Okt — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini memberikan jaminan bahawa kerajaan akan memberikan perlindungan keselamatan kepada saksi dalam siasatan klip video yang didakwa memaparkan rakaman penuh perbualan telefon antara seorang peguam dengan seorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim pada tahun 2002.

Perdana Menteri berkata untuk tujuan itu, polis akan diminta memberikan perlindungan untuk saksi terbabit.

“Di mana diperlukan, kita berilah (perlindungan kepada saksi),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat saintifik tahunan ke-10 Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia di sini hari ini.

Abdullah menjelaskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi sedang digubal oleh kerajaan.

“Peguam Negaralah kena tentukan undang-undang yang akan digunakan.

Persediaan (rang undang-undang itu) belum sampai ke peringkat Kabinet lagi,” katanya.

Pada Isnin lepas, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengeluarkan perintah terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan klip video asal rakaman tersebut selewat-lewatnya pada Khamis lepas ke pejabat BPR di Putrajaya.

Bagaimanapun Anwar gagal menyerahkan rakaman klip video asal itu kepada BPR pada tarikh yang ditetapkan itu.

Ketua Pengarah BPR Datuk Ahmad Said Hamdan dipetik sebagai berkata Anwar perlu mematuhi perintah yang dikeluarkan mengikut Seksyen 22(1) (b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi menyerahkan klip video asal itu.

Jika gagal mematuhi perintah itu, beliau dianggap melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29© Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pada 18 Sept lepas, BPR mula menjalankan siasatan bagi membantu Panel Bebas Khas yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar untuk menentukan kesahihan rakaman klip video itu.

Semalam, Anwar memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah BPR itu di Bahagian Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, Abdullah berkata kerajaan sedia memberikan peruntukan tambahan kepada Polis Diraja Malaysia bagi membeli baju kalis peluru untuk digunakan dalam operasi polis.

“Kita boleh beri lagi tambahan peruntukan. Biarlah Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan kemukakan permohonan banyak mana lagi pakaian kalis peluru perlu dibeli,” katanya.

Dalam kejadian pukul 8.15 malam Jumaat lepas dua anggota polis mati manakala dua lagi parah ditembak sekumpulan penjenayah dalam serbuan di Kampung Desa Aman Sungai Buloh.

Semalam, Musa dipetik sebagai berkata anggota polis berkenaan tidak menggunakan baju kalis peluru kerana masalah kekurangan peralatan berkenaan.

Sehubungan itu Musa akan memohon kepada kerajaan untuk menambah jumlah baju kalis peluru itu kerana ia membabitkan perbelanjaan yang besar. -Bernama

No comments: