Saturday, October 27, 2007

Bincang hala tuju parti

Oleh Anwar Hussin dan Faiza Zainudin

KUALA LUMPUR: Bermula 5 hingga 9 November ini, 2,522 perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno ke-58 akan menumpukan kepada perbincangan hala tuju parti selepas mengecapi kejayaan besar setengah abad sejak negara merdeka.

Perhimpunan yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, akan dihadiri wakil daripada 190 bahagian Umno, termasuk dari Wanita, Pemuda dan Puteri.

Selain itu, 33 parti luar negara dari 31 negara sudah diundang sebagai jemputan dan hingga kini, 12 negara termasuk Kemboja, Laos, Singapura, Turki, Kazakhstan, Cuba, China, Sudan dan Libya serta wakil 57 Kelab Umno Luar Negara sudah mengesahkan kehadiran mereka.


Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan dimulakan pada 5 November dengan majlis taklimat tertutup Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan sebelah malamnya, Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Razak, melakukan perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Persidangan Wanita akan dihadiri 791 perwakilan, Pemuda (787 perwakilan) dan Puteri (773 perwakilan).

Pada 6 November ini, Wanita, Pemuda dan Puteri akan bersidang secara serentak dan kemuncaknya adalah ucapan Presiden pada 7 November yang diikuti dengan perbahasan dan usul oleh perwakilan pada 8 dan 9 November.

Tiga usul yang akan dibahaskan ialah ucapan dasar presiden, ekonomi dan pendidikan serta agama dan sosial.

Jawatankuasa usul yang dipengerusikan Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan siapa yang akan membentangkan usul berkenaan.

Sementara itu di GEORGETOWN, Ketua Pemuda Umno Bahagian Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman, dilantik sebagai Ketua Penaja Umno bahagian itu bagi menyelesaikan masalah dalaman bahagian berkenaan.

Pemilihan Abdul Razak, 38, diputuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika mengadakan pertemuan dengan pemimpin kanan Pemuda Umno Pulau Pinang di sini, semalam.

Ketika ditemui selepas pertemuan itu, Abdul Razak berkata, pelantikannya diumumkan secara spontan oleh Perdana Menteri.

No comments: