Sunday, September 23, 2007

Majoriti 20,000 undi di P124

Oleh Amin Ridzuan Ishak


BARU: Zulhasnan merasmikan bilik gerakan pusat pilihan raya Umno Bahagian Bandar Tun Razak, sambil diperhatikan Tan (kanan) dan Rahim (dua dari kiri).

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran majoriti 20,000 undi bagi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak pada pilihan raya akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Zulhasnan Rafique, berkata sasaran itu diletakkan Pengerusi BN Bandar Tun Razak, Datuk Tan Chai Ho yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan selama tiga penggal.

Beliau yang menyambut baik sasaran itu, yakin ia mampu dicapai dengan kerjasama erat parti komponen BN yang sering bekerjasama untuk memajukan rakyat.

"Tidak mustahil angka itu dapat dicapai kerana pada pilihan raya sebelum ini, Tan berjaya memenangi kerusi ini dengan majoriti cukup besar iaitu 17,000 undi.

"Pada 1999, kita hanya memenangi pilihan raya dengan majoriti 1,224 dan peningkatan majoriti yang memberangsangkan ini memberi keyakinan untuk mencapai sasaran majoriti 20,000 undi," katanya selepas perasmian bilik gerakan pusat pilihan raya Umno Bahagian Bandar Tun Razak di sini, semalam.

Turut hadir Tan yang juga Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Dr Rahim Baba.

Majlis berkenaan turut menyaksikan Kementerian Wilayah Persekutuan menyerahkan 71 komputer kepada 71 komuniti seluruh Parlimen Bandar Tun Razak bagi tujuan pembelajaran teknologi maklumat (IT).

Zulhasnan berkata, keyakinan itu juga dilahirkan melalui beberapa faktor seperti ketiadaan isu besar yang boleh dimainkan pembangkang dan kemajuan diperoleh penduduk kawasan itu.

No comments: