Sunday, September 23, 2007

Rusuhan: Polis mula buru

KUALA TERENGGANU 22 Sept. – Polis Terengganu akan melancarkan operasi mencari 37 individu dipercayai terlibat dengan rusuhan dan membakar Jalur Gemilang di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Buruk pada malam 8 September lepas, pada bila-bila masa sahaja sekarang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah I Terengganu, Supritendan Khairi Ahrasa berkata operasi mengesan mereka yang dikehendaki polis itu dilakukan setelah tempoh yang diberikan kepada mereka untuk menyerah diri tamat tengah malam semalam.

Sehingga tengah malam semalam hanya sembilan orang daripada 46 individu yang dikehendaki tampil menyerah diri bagi membantu melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu.

“Tempoh yang diberikan untuk mereka menyerah diri telah pun tamat tengah malam semalam namun masih ramai yang belum berbuat demikian (menyerah diri).

“Kita sedang mengemas kini maklumat termasuk alamat serta nama-nama mereka yang masih belum tampil untuk menyerah diri sebelum kita memulakan operasi menangkap dari rumah ke rumah bila-bila masa sahaja sekarang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Khairi berkata, yang terakhir menyerah diri malam semalam ialah seorang pekebun berusia 21 tahun dari Kampung Pengkalan Berangan, Marang yang hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 8.15 malam.

Sebelum ini, polis mengedarkan gambar 46 individu yang dicari berhubung kes rusuhan dan membakar Jalur Gemilang yang berlaku di Jalan Sultan Mamhud dan Batu Buruk pada malam 8 Sept lepas.

Antara mereka yang telah menyerah diri termasuklah seorang pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah agama swasta di Kampung Binjai Bongkok, Marang dan pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah menengah di Pasir Panjang.

No comments: