Sunday, September 23, 2007

Tarikh Pilihan Raya Perlu Ambil Kira Musim Haji Dan Tengkujuh

KOTA BAHARU, 23 Sept (Bernama) -- Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Perdana Menteri mengambil kira faktor rakyat menunaikan fardu haji dan musim tengkujuh sekiranya bercadang mengadakan pilihan raya umum ke-12 dalam waktu terdekat.

Beliau berkata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu mengambil kira faktor musim haji hujung tahun ini kerana jika pilihan raya diadakan pada waktu itu, ia boleh menafikan hak jemaah haji untuk mengundi.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata hujung tahun juga bermakna pilihan raya bakal berdepan dengan musim tengkujuh dan menyukarkan rakyat yang menghadapi bencana itu untuk keluar mengundi.

Berdasarkan kepada perkembangan yang berlaku sekarang, beliau yakin pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat ini.

"Sekarang feel good factor bagi kerajaan dan jika tunggu lama lagi takut nanti timbul masalah besar dan sebab itu saya yakin pilihan raya akan diadakan dalam tempoh terdekat," katanya kepada Bernama di pejabatnya di sini hari ini.

Nik Aziz turut mendakwa keengganan bangsa Melayu untuk mendaftar sebagai pengundi disebabkan kekangan politik dan kecewa dengan semangat demokrasi dalam pilihan raya.

"Kebebasan memilih parti yang disukai sudah tidak ada dan mereka sendiri pun sudah tidak percaya kepada kebebasan demokrasi di Malaysia," katanya mengulas kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengenai 90 peratus daripada 1.5 juta rakyat yang tidak mendaftar adalah orang Melayu dan kaum Bumiputera yang lain.

Nik Aziz ketika ditanya mengenai kematian menyedihkan kanak-kanak lapan tahun Nurin Jazlin Jazimin akibat penderaan seksual, berkata ia disebabkan manusia sudah tidak takut lagi kepada Allah hingga sanggup melakukan apa sahaja semata-mata untuk kepuasan nafsu.

-- BERNAMA

No comments: