Sunday, September 23, 2007

Insiden Batu Buruk, polis diselar kerana buru 37 orang semata-mata

Azamin Amin
Sun | Sep 23, 07 | 1:02:55 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Hrkh) - Tindakan polis Terengganu melancarkan operasi mencari 37 individu dipercayai terlibat dengan rusuhan dan membakar Jalur Gemilang di Jalan Sultan Mahmud dan Batu Buruk pada malam 8 September lepas, diselar kerana bersikap terpilih dalam menjalankan siasatannya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu Dato' Ustaz Abu Bakar Chik berkata beliau merasa sangsi dengan motif bersungguh-sungguh dan tujuan polis memburu hanya 37 orang semata-mata sedangkan pada malam kejadian itu terdapat ribuan orang yang hadir sama dan turut menjadi saksi 'kekecohan' yang berlaku.

"Mengapa pilih-pilih gambar tertentu sahaja, ada yang berusia 70 tahun dan ada yang muda. Pada malam itu bukan hanya 37 orang ini sahaja malah ribuan yang hadir.Ini semua perancangan yang nak menakut-nakutkan rakyat semata-mata," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

"Ini semua main tangkap rambang sahaja sehingga orang yang tak ada jari pun turut ditangkap dan dituduh membaling batu," katanya merujuk pendedahan Harakah keluaran terbaru berhubung isu Batu Buruk.

Beliau yang kesal dengan sikap polis yang dilihat cenderung untuk menuduh pembangkang dalam isu ini sedangkan yang turut mencetuskan suasana provokasi itu adalah pihak polis sehingga melepaskan tembakan peluru hidup kepada dua orang yang hadir pada mala itu, Suwandi Abdul Ghani, 38 dan Muhamad Azman Aziz, 21.

Suwandi yang cedera parah telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi mengeluarkan peluru di tubuhnya manakala Muhamad Azman yang terkena tembakan pada bahagian leher dan bahu menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Lebih mengejutkan, kedua-dua mangsa terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Difahamkan seorang anggota polis berpangkat konstabel dari Jabatan Siasatan Jenayah, Wan Abdul Aziz Wan Omar mengaku telah melepaskan tembakan tersebut sebagaimana laporan polis yang dibuatnya.

"Sepatutnya polis mesti melakukan siasatan menyeluruh terhadap penembak dan pengacu pistol yang terdiri daripada polis sendiri.

"Jika orang awam sahaja disabitkan tetapi polis tidak dikenakan tindakan dan siasatan, orang tidak akan menghormati polis lagi selepas ini dan akan lebih menjejaskan kredibiliti polis yang sudah lama tercalar sebelum ini," kata Ustaz Abu Bakar lagi.

Selain itu, beliau juga berpandangan tindakan dan operasi memburu polis ini dilihat mahu menjadikan PAS sebagai 'kambing hitam' di samping mahu menutup kisah sebenar kejadian pada malam itu yang turut didakwa sebelum ini didalangi oleh Umno Terengganu sendiri. - mks.

No comments: