KUALA LUMPUR 22 Sept. – Perbicaraan tuntutan bertindih Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge antara Malaysia dan Singapura akan didengar semula di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, November ini.
Perbicaraan akan diadakan di Peace Palace, The Hague selama 17 hari bermula 6 November ini.
ICJ dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasminya berkata, Presiden mahkamah itu, Hakim Rosalyn Higgins tidak akan mengambil bahagian dalam perbicaraan itu.
Ia sebaliknya akan dipengerusikan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.
Kenyataan bertarikh 20 September itu menyebut, hujah pusingan pertama selama empat hari bermula 6 November melibatkan Singapura manakala Malaysia pula pada 13 November hingga 16 November.
Pusingan kedua pula bermula pada 19 November hingga 23 November.
Isu tuntutan bertindih ke atas pulau itu timbul apabila Singapura mula mempertikaikan kedaulatan negara ke atas Pulau Batu Puteh pada 1980, 25 tahun selepas berpisah dengan Malaysia.
Kedua-dua negara kemudian bersetuju mengemukakan kes itu ke ICJ.
Pulau Batu Puteh yang mempunyai keluasan sebuah padang bola beserta dua pulau batu yang berhampiran, Middle Rocks dan South Ledge, terletak kira-kira 7.7 batu nautika dari Johor, tetapi 25 batu nautika dari Singapura.
Middle Rocks dan South Ledge adalah terlalu kecil sehingga ia sering dianggap hanya sebagai struktur marin.
Tinjauan Mingguan Malaysia di pulau itu pada Disember 2002 mendapati Pulau Batu Puteh berstruktur pulau kecil yang terdiri daripada batu tanpa pokok serta tidak mempunyai sebarang kepentingan ekonomi termasuk dari segi pelancongan.
Bagaimanapun ia amat penting dari segi keselamatan dan maritim kerana terletak di laluan antarabangsa yang sentiasa sibuk dengan kapal dagang.
No comments:
Post a Comment