Sun | Sep 23, 07 | 2:35:07 pm MYT
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Hrkh) - Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dilihat seolah-olah takut dan cuba menyembunyikan isu klip video yang menunjukkan seorang peguam kanan sedang bercakap dengan seseorang berhubung pelantikan hakim-hakim di negara ini daripada disiasat oleh sebuah badan bebas.
Ketika ditanya sama ada sebuah suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu, Abdullah dilaporkan berkata langkah tersebut tidak perlu kerana kesahihan klip video itu belum dibuktikan lagi.
Mengulas perkembangan ini Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi melihat tindakan Abdullah yang tidak mahu video ini disiasat oleh badan bebas itu sebagai tindak balas seorang yang pengecut dan dilihat cuba melindungi kes ini daripada didedahkan kepada pengetahuan umum.
"Kalau Abdullah tiada kepentingan dan tidak terlibat dengan isu ini, kenapa tidak benarkan Suruhanjaya Diraja siasat, apa yang cuba diselindungkan?" soalnya.
"Orang ramai dan masyarakat sudah hilang keyakinan terhadap siasatan polis yang semakin hari menambahkan kecurigaan dan membimbangkan," katanya.
Beliau tidak mahu ada usaha pentadbiran Abdullah dengan kerjasama polis dan Peguam Negara cuba sekali lagi untuk menutup kes yang didedahkan Dato' Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, kerana selama ini Peguam Negara sentiasa dilihat cuba untuk 'membersihkan' orang-orang tertentu dalam banyak kes seperti kes Eric Chia, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharom yang menimbulkan tanda tanya rakyat umumnya.
Katanya, sudah banyak pihak termasuk orang ramai yang lazimnya sudah boleh menjangkakan hasil siasatan yang akan dibuat oleh polis selama ini dan percaya bahawa kes profil tinggi seperti ini akan ditutup begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.
"Oleh yang demikian, ramai yang menggesa pelbagai masalah yang membabitkan soal keselamatan negara dan badan kehakiman disiasat oleh suruhanjaya bebas bagi memastikan ketelusan dapat dilaksanakan berbanding polis yang sudah kurang diyakini," katanya.
"Saya menggesa supaya Abdullah membenarkan badan bebas menyiasat kerana ini membabitkan integriti kehakiman negara dan jangan cuba melindunginya daripada pengetahuan rakyat," katanya.
Sebelum ini Penasihat KeADILan, Dato' seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan terdapatnya konsiprasi dalam sistem kehakiman negara dan turut menyatakan terdapat video yang merakam aksi perbualan VK Lingam melalui telefon dengan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim pada tahun 2002.
Pada ketika itu Ahmad Fairuz merupakan Ketua Ketua Hakim Malaya iaitu orang nombor tiga dalam hierarki badan kehakiman negara.
Menurut Anwar, rakaman video tersebut jelas membuktikan bahawa proses pelantikan hakim-hakim kanan penuh dengan skandal rasuah dan penyelewengan.
“Ini juga membuktikan bahawa pelantikan tersebut turut mempengaruhi hasil-hasil dalam sebilangan prosiding kehakiman termasuk kes saya,†tegasnya yang dipetik daripada Suara KeADILan online.
Beliau menegaskan bahawa melalui video tersebut Lingam turut menyebut nama Vincent Tan dan Tengku Adnan Tengku Mansor dalam perbualannya.
“Vincent Tan merupakan seorang ahli perniagaan dan hartawan perjudian yang terlibat dalam penyalahgunaan proses kehakiman yang kini dikenali sebagai kes Ayer Molek,†jelasnya.
Manakala, ujarnya, Tengku Adnan adalah pemimpin Umno dan juga ahli Kabinet yang salah seorang terlibat dalam kospirasi politik untuk memecat beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998.
“Dalam video ini VK Lingam dapat dilihat dan didengar bercakap dengan Ketua Hakim Negara (sekarang) Ahmad Fairus di mana nama saya dan Wee Chee Keong di antara lain disebut secara khusus,†katanya.
Anwar juga memberitahu bahawa pada tahun 1994, gambar Lingam bersama bekas Ketua Hakim Negara, Eusoff Chin sedang bercuti di New Zealand boleh menimbulkan beberapa persoalan tentang sikap, politik dan etika peguam itu yang memberi implikasi kedududakan dan kewibawaan Ketua Hakim Negara ketika itu.
“Lingam juga terlibat dalam kes laporan ‘Pricewaterhouse Coopers’ yang dibentangkan oleh saya dalam Parlimen pada tahun 1995 berikutan satu siasatan audit yang lengkap Perwaja menguatkan skandal yang melibatkan kerugian berbilion ringgit,†katanya.
Menurutnya lagi, pendedahan skandal tersebut akan mengesahkan apa yang KeADILan yakini sebelum ini bahawa terdapatnya konspirasi di peringkat tertinggi dan rasuah besar yang melibatkan badan kehakiman.
Beliau berkata bahawa konspirasi tersebut antara lain memberi kesan kepada keputusan badan kehakiman yang dikatakan menganiaya orang yang tertentu.
“Ini melibatkan kepentingan awam dan kita desak kerajaan tubuhkan tribunal bebas untuk siasat skandal yang mengaibkan ini,†katanya.
Beliau juga berkata akan mengusulkan isu itu kepada Presiden KeADILan, Dr Wan Azizah Wan Ismail agar menemui Majlis Raja-raja Melayu bagi menyerahkan video tersebut.
“Pertemuan itu adalah untuk memohon Majlis Raja-raja Melayu supaya menjalankan tanggungjawab mereka menurut perlembagaan agar badan kehakiman kekal bebas,†tegasnya. - mks.
No comments:
Post a Comment