Monday, May 22, 2006

Populariti Calon BN Dalam Media Bukan Tiket Kemenangan - Zahid

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Populariti seseorang calon dalam media cetak mahupun elektronik kini bukan lagi menjadi tiket untuk memastikan kemenangan mereka dalam pilihan raya, kata Timbalan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Zahid Hamidi hari Ahad.

Beliau berkata media kini bukan lagi tiket untuk calon Barisan Nasional (BN) memastikan kemenangan menjadi milik mereka kerana banyak lagi faktor lain yang perlu diambil kira seperti mutu perkhidmatan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa media masih merupakan saluran terbaik untuk menyampaikan sesuatu maklumat dan informasi.

Zahid mengulas kemampuan pembangkang meraih sembilan kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak semalam. Ia merupakan pencapaian terbaik pembangkang dalam tempoh 19 tahun di negeri itu.

Pada pilihan raya negeri 2001 pembangkang hanya memperolehi dua kerusi.

"Tetapi itu bukan bermakna kekalahan BN di sembilan kerusi di kawasan bandar menunjukkan media tidak lagi berkesan," katanya kepada pemberita selepas menutup MEXS (Mazz Xtreme Sports) Adventure Camp 01 di Kem Isi Rimba di sini.

Beliau berkata pengundi hari ini lebih bijak dalam memilih calon yang mereka yakin dapat menjalankan perkhidmatan seperti yang dijanjikan.

Selain itu katanya, pengundi juga kini lebih tertarik untuk mengundi calon yang mempunyai personaliti yang meyakinkan dan yang banyak mengetengahkan isu perkauman.

Katanya, dengan adanya kecanggihan teknologi dan kemudahan komunikasi, pengundi-pengundi kini menjadi lebih bermaklumat.

"Kekalahan ini seharusnya dijadikan panduan supaya BN lebih berhati-hati kerana pengundi sekarang bukan seperti dahulu, mereka lebih bijak dan bermaklumat," katanya.

Seramai 50 orang peserta mengambil bahagian dalam perkhemahan motivasi yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 19 Mei lepas dan dikendalikan oleh Personaliti/Pengacara TV dan juga Duta Belia 2003, Maznah Zolkifli.

BERNAMA

No comments: