Monday, May 22, 2006

Kaji punca kekalahan BN di bandar

PULAU PINANG 21 Mei - Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji secara mendalam punca kekalahan calonnya kepada pembangkang terutama di kawasan bandar pada pilihan raya negeri Sarawak semalam.

Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon bagaimanapun berkata, keputusan pilihan raya itu membuktikan bahawa secara keseluruhannya rakyat masih menyokong BN.

``Kita mesti terima keputusan rakyat yang pada amnya menyokong BN dengan majoriti yang besar.

``Bagaimanapun, kita hendaklah mengkaji dan teliti sebab-sebab para pengundi dalam bandar kurang menyokong BN, sehingga BN kalah agak banyak kerusi,'' katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu di sini hari ini.

Pada pilihan raya itu, BN memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, pembangkang membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun dengan meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri 2001.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang dipimpin Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. George Chan mengalami kekalahan teruk, tewas lapan daripada 19 kerusi ditandinginya yang kebanyakan di kawasan bandar manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula tewas satu daripada sembilan kerusi.

Kawasan yang dimenangi pembang-kang ialah Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili manakala Ngemah dimenangi calon bebas, Gabriel Adit Demong.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye berkata, pembangkang mengeksploitasi isu kenaikan harga minyak sebagai modal politik mereka sehingga mampu memenangi lapan kerusi di Sarawak.

``Mereka (pembangkang) membangkitkan isu dengan mengaitkan kenaikan harga minyak sedangkan hakikatnya Sarawak adalah pengeluar minyak terbesar di negara ini,'' katanya yang juga Timbalan Menteri Penerangan ketika ditemui pada majlis bertemu rakyat di sini hari ini.

Selain itu, katanya, soal pemilihan calon walaupun isu tempatan, tetapi mungkin menjadi punca kekalahan BN.

Oleh itu, katanya, BN mesti berusaha dari sekarang untuk mendampingi rakyat di sembilan kawasan yang tewas termasuk kepada calon bebas bagi memastikan setiap masalah rakyat, dapat diatasi dengan segera sebelum terlambat.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: