Monday, May 22, 2006

Kaji semula `kekalahan kecil' dalam pilihan raya negeri

MELAKA 21 Mei - Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin meminta Barisan Nasional (BN) meneliti semula kekalahan kecil yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak kesembilan yang berlangsung semalam.

Katanya, walaupun ia `kekalahan kecil', tetapi ia membawa mesej yang amat besar kepada kerajaan dan wajar dijadikan peringatan penting.

Beliau memberitahu, kekalahan itu mungkin dianggap sebagai satu kejutan dan di luar jangkaan oleh semua pihak kerana ramai yang menganggap BN mampu menang besar dalam pilihan raya di Sarawak pada kali ini.

``Sebelum ini, kita tidak biasa dengan kekalahan dalam mana-mana pilihan raya yang diadakan di Sarawak.

``Kekalahan kecil ini cukup baik untuk memberi pengajaran kepada BN selain dapat menyemai satu semangat yang lebih positif.

``'Kejutan berkenaan memberi semangat baru dan kita tidak perlu melihat dalam satu perasaan yang pesimistik,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Komuniti Bestari di sini hari ini.

Semalam, BN memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 daripada 71 kerusi untuk kembali memerintah Sarawak pada pilihan raya negeri kesembilan.

Pembangkang bagaimanapun membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun dengan meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri pada 2001 yang lalu.

Pada 1987, pembangkang memenangi 20 kerusi berbanding 28 BN.

Pembangkang menang di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili manakala seorang calon bebas di Ngemah.

Dalam pada itu, Zainuddin menambah, BN perlu sensitif dengan kehendak semasa dan mengkaji semula keperluan kewujudan pemerhati atau `watchdog' di kalangan pembangkang dalam kerajaan.

Katanya, kerjaan tidak memerlukan badan pemerhati daripada parti pembangkang kerana ia akan mengurangkan lagi kuasa dan peranan BN.

``Kajian perlu difokus di bandar-bandar besar di seluruh negara. Rakyat di bandar didapati mampu hidup berdikari dan boleh bergantung kepada pemerhati-pemerhati ini. Namun, ia satu perkembangan yang tidak baik kepada kerajaan.

``Keadaan ini berbeza di luar bandar kerana rakyat di luar bandar masih memerlukan kerajaan,'' ujarnya.


UTUSAN MALAYSIA

No comments: