Wednesday, May 24, 2006

Sembilan bukan angka bertuah dalam pilihan raya Sarawak

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

ANGKA sembilan jelas bukan angka bertuah bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya Sarawak Sabtu lalu.

Empat perkara boleh dikaitkan dengan angka sembilan dalam pilihan raya negeri kali ini. Pertama, kali ini adalah pilihan raya negeri Sarawak yang kesembilan.

Kedua, Barisan Nasional (BN) kalah di sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu kekalahan terbesar dalam tempoh 19 tahun.

Pembangkang menang di sembilan kawasan iaitu Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili dan Ngemah berbanding hanya dua kerusi pada pilihan raya 2001.

Ketiga, kekalahan itu dicatatkan selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri ini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu yang menyaksikan sembilan kawasan DUN baru diwujudkan.

Kesemua sembilan kerusi baru itu ialah Opar, Lingga, Balai Ringin, Bukit Saban, Daro, Bekenu, Pujut, Batu Danau dan Bukit Sentosa.

Keempatnya, pilihan raya kali ini diadakan di saat kerajaan giat menyusun program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Malang sekali, RMK-9 yang memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar turut dijadikan modal oleh pembangkang pada pilihan raya lalu.

Pembangkang mendakwa kerajaan kononnya `meminggirkan' masalah yang dihadapi penduduk bandar yang majoritinya terdiri daripada kaum Cina.

Ia berkait rapat dengan kemenangan DAP di kawasan bandar yang majoritinya pengundi Cina seperti di Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Kidurong, dan Padungan.

Walaupun tewas, BN memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 daripada 71 kerusi untuk kembali memerintah Sarawak.

Apa yang penting BN masih mengekalkan suara majoriti iaitu 87.3 peratus dalam sidang DUN Sarawak.

Dari segi peratusan undi yang diperoleh mengikut parti, sebanyak 552,356 atau 63.22 peratus daripada 873,703 pengundi berdaftar di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) memperoleh peratusan tertinggi iaitu 29.5 peratus.

Ia diikuti Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) 20.9 peratus, Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) 6.4 peratus dan Parti Rakyat Sarawak 6.1 peratus.

Peratusan undi kepada pembangkang pula menyaksikan DAP memperoleh 15.1 peratus diikuti Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 9.5 peratus, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 8.7 peratus dan Bebas 3.5 peratus. PAS yang gagal memperoleh sebarang kemenangan hanya mendapat 0.3 peratus undi.

Apa yang penting kerajaan negeri yang diterajui oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dapat melaksanakan program pembangunan di bawah RMK-9.

Sarawak memperoleh peruntukan antara yang terbesar iaitu RM25 bilion dengan fokus meningkatkan pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar di negeri ini.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan pertambahan calon wanita yang bakal mewarnai politik negeri.

Antaranya tiga muka baru BN yang menang selesa di kawasan masing-masing. Calon PBB, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menang di Samariang, Simoi Peri di Lingga dan Rosey Yunus (SPDP) di Bekenu. Penyandang kerusi Dalat, Fatimah Abdullah pula menang tanpa bertanding.

Dua calon wanita DAP turut menang iaitu Violet Yong Wui Wui, 29, di Pending dan Ting Tze Hui yang menang di Meradong mengukir nama sebagai wakil rakyat termuda dalam sejarah Sarawak atau mungkin juga negara pada usia 24 tahun.

Agak mengejutkan apabila sebanyak 6,964 undi rosak dicatatkan pada pilihan raya kali ini atau 1.26 peratus daripada 552,356 yang keluar mengundi di 69 DUN, Sabtu lalu.

Begitupun jumlah 63.2 peratus yang keluar mengundi Sabtu lalu bukan gambaran sebenar kerana dua kerusi dimenangi tanpa bertanding iaitu Dalat dan Daro.

Kedua-dua kawasan berkenaan mempunyai 7,411 dan 11,423 pengundi berdaftar.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: