Monday, May 22, 2006

Trend pengundi Cina sokong pembangkang ke Sarawak - Pensyarah

KUALA LUMPUR 21 Mei - Beberapa pemerhati politik hari ini berpendapat, trend pengundi Cina di Semenanjung yang kuat menyokong pembangkang kini sudah mula menular ke Sarawak.

Akibatnya, kata mereka, BN kalah di banyak kerusi yang majoriti pengundinya adalah kaum Cina pada pilihan itu.

Pensyarah Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nidzammuddin Sulaiman berkata, trend itu dilihat telah menular di kalangan pengundi Cina di kawasan bandar di negeri berkenaan.

Menurutnya, di Semenanjung, sebahagian besar penyokong DAP adalah pengundi Cina yang tinggal di bandar seperti di Ipoh, Melaka dan Pulau Pinang.

``Kita lihat sebelum ini terutama pada tahun 2001, DAP hanya menang satu kerusi tetapi jumlah itu kini bertambah kepada sembilan kerusi,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam keputusan pilihan raya negeri semalam, BN menang 62 daripada 71 manakala pembangkang meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua kerusi pada pilihan raya negeri 2001.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Nidzammuddin berkata, BN seharusnya memberi perhatian yang lebih terhadap pengundi Cina di kawasan bandar dan tidak terlalu menekankan aspek pembangunan yang ingin dilaksanakan di tempat mereka.

Ini kerana, kata beliau, golongan itu yang tinggal di bandar tidak memerlukan pembangunan untuk menarik undi kerana mereka lebih tidak berpuas hati berhubung isu kenaikan minyak dan premium tanah.

``Rasa tidak puas hati mereka ini lebih bertambah apabila DAP yang turut mendapat kerjasama parti Keadilan dan Pas memainkan isu ini dalam kempen mereka,'' katanya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-Undang Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Ahmad Atori Hussein berkata, parti komponen BN khususnya MCA perlu memainkan peranannya untuk membantu BN menarik semula minat pengundi Cina menyokong parti itu.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: