Monday, May 22, 2006

Detik membanggakan DAP

KUCHING 21 Mei - DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan kejayaan mereka memenangi tujuh daripada sembilan kerusi pada Pilihan Raya Negeri Kesembilan semalam sebagai kemenangan rakyat.

Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang memenangi kerusi Kota Sentosa berkata, kemenangan DAP di enam kawasan menunjukkan kuasa rakyat menentukan kerajaan.

Katanya, kejayaan itu merupakan detik membanggakan bagi rakyat Sarawak.

``Dalam tempoh lima tahun akan datang, DAP akan cuba untuk memenangi lebih banyak kerusi,'' katanya.

Chieng Jen menewaskan calon BN, Yap Chin Loi di kawasan Kota Sentosa dengan 531 majoriti undi.

Kota Sentosa merupakan satu daripada enam kerusi yang berjaya ditawan DAP dalam pilihan raya negeri kali ini.

Lima lagi kawasan yang menjadi milik DAP ialah Pending, Batu Lintang, Meradong, Bukit Assek dan kerusi tunggal mereka sebelum ini, Kidurong.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang PKR Sarawak, Dominique Ng berkata, beliau berpuas hati kerana akhirnya parti itu berjaya menang di kawasan yang majoritinya pengundi Cina yang dimenanginya di Padungan.

``Saya juga mengucapkan tahniah kepada DAP di atas kemenangan besar mereka kali ini dan melihat kemungkinan bekerjasama sebagai pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sarawak,'' katanya.

Ng muncul calon tunggal PKR yang menang daripada lima kerusi yang ditandingi apabila menewaskan calon BN, Naib Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Lily Yong Lee Lee dengan 1,417 majoriti undi.

Dua lagi kerusi yang terlepas ke tangan pembangkang ialah Ngemah, oleh calon Bebas, Ganriel Adit Demong dan Engkilili oleh Johnical Rayong Ngipa dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

UTUSAN MALAYSIA

No comments: