Monday, May 22, 2006

Kekalahan sembilan kerusi satu amaran

POH 21 Mei - MCA menganggap kekalahan lapan calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di kawasan majoriti penduduk Cina merupakan satu amaran kepada Barisan Nasional (BN) agar lebih teliti menangani isu yang dimainkan oleh pembangkang.

Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Fu Ah Kiow berkata, parti itu kecewa dengan kekalahan yang berlaku di kawasan majoriti Cina dan akan melakukan bedah siasat selepas menerima laporan daripada BN Sarawak.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, bedah siasat itu amat penting untuk mengetahui persepsi dan perubahan sokongan daripada pengundi Cina di kawasan bandar.

``Kami akan kaji sebab mereka tidak mengundi parti gabungan BN sedangkan sedangkan kerajaan telah merancang dan melaksanakan banyak pembangunan di Sarawak,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Kendalikan Maklumat dan Eratkan Hubungan Media Massa di sini hari ini.

Pada pilihan raya Sarawak semalam, BN memperoleh semula mandat apabila memenangi 62 kerusi daripada 71 kerusi untuk kembali memerintah.

Pembangkang bagaimanapun membuat kejutan besar dalam tempoh 19 tahun apabila berjaya meraih sembilan kerusi berbanding hanya dua pada pilihan raya negeri 2001.

Sembilan kerusi yang dimenangi oleh pembangkang ialah Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkilili dan Ngemah.

Ah Kiow berkata, kekalahan sembilan kerusi itu mungkin akibat laporan kurang tepat daripada sesetengah media dalam memainkan isu pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini yang memberikan imej negatif kepada BN.

``Kerajaan mengamalkan keterbukaan dalam bersuara tetapi saya dapati ada media buat laporan kurang tepat dan bila ada penjelasan, ia tidak diberi liputan sama besar sehingga menimbulkan persepsi negatif,'' katanya.

Menurut Ah Kiow, BN perlu mengambil inisiatif untuk menggiatkan usaha-usaha menerangkan dasar dan projek kerajaan bukan sahaja di pusat-pusat bandar malah di peringkat negeri dan daerah.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: