Monday, May 22, 2006

Radzi kecewa 9 kerusi dimenangi pembangkang

Oleh: NOR SEDEK ISMAIL

BATU PAHAT 21 Mei - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad kecewa dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan sembilan kerusi terlepas ke tangan pembangkang walaupun BN dapat membentuk kerajaan negeri semalam.

Sehubungan itu katanya, satu `bedah siasat' akan dilakukan untuk mengesan puncanya mengapa ia berlaku kerana ia merupakan kemenangan besar bagi pembangkang dalam tempoh 19 tahun berbanding hanya dua kerusi dimiliki pada pilihan raya 2001.

Bagaimanapun beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO tidak menolak kemungkinan isu kenaikan harga minyak menyebabkan pengundi-pengundi negeri itu memilih pembangkang untuk mewakili suara mereka di Dewan Undangan Negeri.

Ini kerana katanya, isu tersebut begitu dekat dengan penduduk Sarawak selaku pengeluar minyak dan gas di negara ini.

``Saya rasa kecewa walaupun kita (BN) menang tetapi kita kalah di sembilan kerusi, perkara ini akan dikaji dengan teliti,'' ujar kepada pemberita di sini hari ini.

Radzi menyatakan demikian ketika diminta mengulas kekalahan BN dalam sembilan kerusi pada pilihan negeri Sarawak iaitu Pending, Batu Lintang, Kota Sentosa, Bukit Assek, Kidurong, Meradong, Padungan, Engkili dan Ngemah.

Sebanyak enam daripada kerusi itu dimenangi oleh Parti Tindakan Rakyat (DAP) masing-masing satu kerusi dikuasai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Kebangsaan Sarawak (SNA) dan calon bebas.

Bagaimanapun BN Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berjaya membentuk kerajaan setelah memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

UTUSAN MALAYSIA

No comments: