Tuesday, June 30, 2009

Najib tolak pelawaan debat terbuka Nik Aziz

Najib tolak pelawaan debat terbuka Nik Aziz

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam menolak jemputan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu mengadakan debat terbuka bagi menyelesaikan isu perbezaan politik antara Umno dan Pas yang berlaku sejak sekian lama.

Perdana Menteri berkata, beliau menolak jemputan itu kerana berpendapat bahawa cara dan kaedah terbaik untuk menyelesaikan perkara itu atau masa depan umat Islam, negara serta kekalutan politik di antara kedua-dua parti ialah menerusi musyawarah.

"Saya tak nampak apa faedahnya debat ini, saya nampak ramai orang tidak bersetuju dengan debat yang tak mendatangkan apa-apa faedah.

"Soal masa depan umat Islam dan negara tidak boleh diselesaikan melalui debat. Jalan terbaik bukan debat tapi forum bermusyawarah dan mengadakan perbincangan secara ikhlas untuk membincangkan masa depan umat Islam dan negara," katanya dalam temuramah khas sempena Hari Peneroka Kebangsaan di Sri Satria, di sini, petang semalam.

Perdana Menteri diminta mengulas mengenai undangan Nik Abdul Aziz kepada beliau untuk mengadakan debat terbuka kononnya bagi menyelesaikan kekalutan politik Pas dan Umno yang berlaku sejak sekian lama.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik sebagai berkata, draf surat jemputan rasmi kepada Presiden Umno untuk mengadakan perdebatan berkenaan sudah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat.

Najib berkata, kritikan dan unsur kutuk-mengutuk perlu dielakkan sebelum kedua-dua pihak boleh duduk berbincang.

"Janganlah kita mengutuk pihak lain. Jika kita sudah hina dan kutuk pihak lain, bererti orang kita ini tak nak cari kata sepakat sedangkan kesepakatan ini sangat penting untuk masa depan umat Islam dan negara," katanya.

Ditanya mengenai kelantangan Pas dan konco-konconya dalam Pakatan Rakyat mengutuk Umno berikutan cadangan debat itu, Najib berkata, sebenarnya Pas sedang berpecah dan ada orang dalam parti itu mahu duduk berbincang manakala sebahagian lagi menentang.

"Jadi kita tengok apa yang berlaku. Ia terpulang kepada Pas. Umno sudah menjelaskan kedudukan kita, dalam erti kata lain kita sentiasa terbuka untuk berbincang dengan Pas.

"Tapi terpulang kepada Pas untuk memutuskan sama ada mereka mahu melakukannya. Pokoknya keputusan kini berada dalam tangan Pas," katanya.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan, Tuan Aziz Tuan Mat, Perdana Menteri berkata, calon itu terbukti kemampuannya ketika bertugas sebagai Pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan banyak berurusan dengan orang ramai dan orang tempatan.

Najib berkata, orang tempatan di kawasan itu begitu mengenali Tuan Aziz dan sekiranya dilihat dari segi kemampuan serta daya kepemimpinannya, ternyata beliau memang layak menjadi calon BN.

"Saya lihat apa yang dia lakukan selama ini mengatasi calon Pas dari segi rekod prestasi dan kemampuan. Maknanya kita sudah menetapkan calon terbaik untuk pengundi di Manek Urai," katanya.

"Jadi sekarang kita berharap jika mereka ingin kepimpinan dia itu dapat diterjemahkan dalam bentuk wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik dan berkesan, maka pilihlah calon kita jadi wakil rakyat di kawasan Manek Urai," katanya.







PM sifatkan debat tidak bawa faedah

Oleh Noraini Abd. Razak
dan Zabry Mohamad
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak tidak nampak sebarang faedah diadakan debat antara Pas dan UMNO dalam menyelesaikan permasalahan umat Islam dan menentukan masa depan negara.

Perdana Menteri berkata, forum terbaik untuk menangani kedua-dua isu itu adalah menerusi musyawarah dan mengadakan perbincangan secara ikhlas.

‘‘Saya tak nampak apa faedahnya debat. Saya nampak ramai orang tidak bersetuju diadakan debat yang tidak mempunyai apa-apa faedah,’’ katanya kepada pemberita di kediamannya di Sri Satria di sini, hari ini.

Najib ditanya kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mempelawa Najib berdebat dengannya secara terbuka.

Kenyataan Menteri Besar Kelantan itu menyusul selepas Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap beliau kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, sepatutnya sebelum sebarang perbincangan boleh dilangsungkan, sesuatu pihak itu jangan mengutuk pihak lain.

‘‘Kalau kita menghina dan mengutuk pihak lain bererti bahawa kita tak nak cari kata sepakat. Kesepakatan itu penting untuk masa depan umat Islam dan negara,’’ katanya.

Nik Aziz ketika berceramah di Padang Awam Laloh baru-baru ini menyamakan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis kerana menolak Islam.

Ditanya pertentangan di antara Pas dan UMNO yang tidak berkesudahan menyukarkan usaha perpaduan Melayu, Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku menunjukkan wujud perpecahan dalam Pas.

Katanya, terdapat kumpulan dalam parti itu yang mahu duduk berbincang dan UMNO menunggu perkembangan selanjutnya di pihak Pas.

‘‘Kita tengok macam mana, apa yang berlaku terpulang kepada Pas. UMNO telah menyatakan pendirian.

‘‘Dalam erti kata lain kita sentiasa bersikap terbuka kepada sebarang perbincangan dengan Pas,’’ katanya.

No comments: