Tuesday, June 30, 2009

Tuan Aziz pilihan terbaik

Tuan Aziz pilihan terbaik

Oleh NORAINI RAZAK, ZABRY MOHAMAD dan MOHD. FAIRUZ YUSOF
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 Jun - Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat merupakan pilihan terbaik untuk para pengundi di kawasan itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana, jelas Perdana Menteri, daya kepimpinan Tuan Aziz telah terbukti berdasarkan kemampuannya melaksanakan tugas sebagai pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dengan baik.

Menurutnya, tugas tersebut telah menjadikan Tuan Aziz lebih rapat dengan masyarakat setempat sehinggakan beliau begitu dikenali.

"Apa yang telah dia lakukan selama ini mengatasi calon Pas dari segi rekod prestasi dan kemampuannya.

"Jadi maknanya kita telah pun meletakkan calon yang terbaik untuk pengundi di DUN Manek Urai," katanya ketika ditemuramah sempena Hari Peneroka di kediamannya di sini hari ini.

Semalam, Tuan Aziz, 39, yang merupakan Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Program Kesedar diumumkan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, 14 Julai ini.

Najib memberitahu, berdasarkan faktor-faktor yang diberikan, beliau percaya Tuan Aziz berupaya menjadi seorang wakil rakyat yang dapat memberikan khidmat dengan baik dan berkesan.

Sehubungan itu, jelas Perdana Menteri, beliau berharap para pengundi di kawasan berkenaan tidak akan mempersia-siakan kelebihan yang ada pada calon BN tersebut.

"Kita berharap kalau mereka (pengundi) ingin kepimpinan dia (Tuan Aziz) dapat diterjemah dalam bentuk seorang wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik dan berkesan, maka pilihlah calon kita sebagai wakil rakyat di Manek Urai," jelasnya.

No comments: