Tuesday, June 30, 2009

Pemuda Pas pilih muzakarah

Pemuda Pas pilih muzakarah

KUALA LUMPUR 29 Jun – Dewan Pemuda Pas mahu bermuzakarah dengan Pergerakan Pemuda UMNO bagi membincangkan dakwaan yang dibangkitkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa UMNO sama dengan parti komunis dan ajaran sesat.

Ketuanya, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, muzakarah adalah medan terbaik berbanding pendekatan lain seperti berdebat kerana pelaksanaannya berdasarkan semangat musyawarah.

Beliau berkata, melalui muzakarah mereka yang terbabit dengan perbincangan itu boleh mengemukakan hujah serta pendapat masing-masing dengan lebih selesa dan kondusif.

“Apabila disebut muzakarah masing-masing boleh kemukakan hujah dan pendapat masing-masing dengan berpaksikan kebenaran. Maksud saya melalui muzakarah tiada pihak yang cuba menegakkan benang yang basah.

“Ketika bermuzakarah kebenaran tetap kebenaran dan ia tidak berubah. Bagi kami muzakarah lebih berbentuk wacana keilmuan yang sepatutnya disuburkan demi kepentingan ummah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nik Aziz dalam ceramahnya di Kuala Krai baru-baru ini telah menyamakan UMNO dengan komunis serta ajaran sesat Ajaran Ayah Pin.

Selain itu, Nasrudin berkata, perbincangan melalui muzakarah lebih rasional tanpa ada pihak yang bertindak secara emosional serta mengikut perasaan.

“Ini yang menyebabkan kami memilih pendekatan untuk bermuzakarah dengan Pemuda UMNO bagi menyelesaikan isu yang timbul ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, sekiranya muzakarah itu berjaya ia merupakan satu titik permulaan bagi Pemuda Pas untuk mengadakan lebih banyak perbincangan berbentuk keilmuan antara kedua-dua belah pihak.

No comments: