3,030 pegawai, anggota polis di Manek Urai
KOTA BHARU 29 Jun - Polis Kelantan menempatkan seramai 3,030 pegawai dan anggota untuk mengawal keselamatan dan menjaga ketenteraman sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi memberitahu, penempatan keanggotaan akan dibuat berperingkat mengikut enam fasa dengan permulaan 40 peratus anggota daripada Ibu Pejabat Kontijen Kelantan dan bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai.
"Fasa-fasa tersebut adalah sebelum penamaan calon, hari penamaan calon, tempoh berkempen, masa tamat berkempen, hari pengundian dan pasca pilihan raya," ujarnya.
Beliau berkata, fasa kritikal dan perlu diberi perhatian adalah semasa berkempen selepas penamaan calon dan memerlukan pemantauan lebih tinggi.
"Ketika ini, permit-permit ceramah akan mula dimohon dan pihak kami perlu lebih teliti dalam mengeluarkan kebenaran tersebut.
"Bagaimanapun, kami beri jaminan permit akan dikeluarkan selagi parti bertanding bersetuju mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Surat Penghargaan kepada pegawai dan anggota oleh Kelab Lions Kelantan, di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini hari ini.
Seramai 12 orang termasuk pegawai dan anggota menerima surat penghargaan yang disampaikan oleh Gabenor Kelab Lions Kuala Krai, Dr. JP Kamalanathan.
Menurutnya, setakat ini, permit ceramah telah dikeluarkan oleh polis tetapi bukan untuk berkempen sebaliknya hanya merupakan ceramah biasa.
Beliau menjelaskan, sehingga kini, tiada laporan sebarang kejadian tidak diingini dibuat oleh mana-mana pihak yang berkaitan dengan pilihan raya tersebut.
"Saya harap, pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar dan menjadi contoh kepada mana-mana pilihan raya selepas ini," tambahnya.
Abdul Rahim berkata, beliau setakat ini berpuas hati dengan kawalan keselamatan di sekitar DUN Manek Urai dan berharap akan berterusan sehingga hari pilihan raya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment