Tuesday, June 30, 2009

Calon BN yakin peluang cerah di Manek Urai

Calon BN yakin peluang cerah di Manek Urai


TUAN AZIZ (kanan) beramah-mesra dengan peniaga tepi jalan Kampung Sungai Soh Luar, dekat Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI: Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, yang akan mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Manek Urai, berharap semangat ditunjukkan semua ahli dan penyokong BN ketika namanya diumumkan sebagai calon kelmarin, dapat diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian 14 Julai ini.

Beliau berkata, sebagai anak tempatan yang memahami budaya dan masalah masyarakat setempat, apa lagi sering berurusan dengan penduduk sepanjang bertugas sebagai pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), BN seharusnya boleh mencipta kemenangan walaupun Manek Urai dianggap sebagai kubu kuat Pas.

"Secara tradisi, Manek Urai memang dianggap kawasan Pas, tetapi saya yakin mempunyai peluang cerah untuk menang di sini kerana mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk peringkat akar umbi.

"Apa yang penting saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati rakyat, di samping sokongan padu dan kerja keras daripada jentera parti dan saya percaya kita tidak akan memberi saingan paling sengit kepada Pas," katanya ketika ditemui di Pusat Operasi BN Manek Urai, di sini, petang semalam.

Terdahulu, beliau yang tidak sampai 24 jam dinamakan sebagai calon BN oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tanpa membuang masa mengambil kesempatan beramah-mesra dengan pengundi sekitar Manek Urai bagi memperkenalkan diri serta mendengar masalah dihadapi mereka.

Tuan Aziz, 39, yang juga bekas Pengurus Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Kesedar itu dibesarkan serta mendapat pendidikan peringkat rendah dan menengah di Kuala Krai dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta aktif dalam pergerakan sosial di Kuala Krai.

Katanya, sepanjang tempoh berkempen mulai 6 Julai ini, beliau akan mengamalkan pendekatan turun padang dari rumah ke rumah serta berusaha sedaya-upaya untuk bersemuka dengan seramai mungkin pengundi DUN Manek Urai.

"Bagi saya, rakyat Manek Urai memerlukan seorang pemimpin sensitif terhadap keperluan mereka serta seorang wakil rakyat yang mampu mengetengahkan masalah dihadapi mereka, Insya-Allah saya akan memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat di sini," katanya.

No comments: