Tuesday, June 30, 2009

Hadi tak tahu Nik Aziz mahu debat dengan PM

Hadi tak tahu Nik Aziz mahu debat dengan PM
Oleh Anwar Hussin, Nazura Ngah, Fatin Hafizah Mohd Shahar, Khairul Azran Hussin dan Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my

Idea MB selesai kekalutan politik tidak dibincang pada mesyuarat AJK Pas Pusat

KUALA LUMPUR: Presiden Pas tidak tahu menahu cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan debat terbuka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menyelesaikan kekalutan politik antara parti itu dengan Umno.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau hanya tahu mengenai cadangan untuk berdebat itu melalui laporan media.

"Saya belum mendapat apa-apa maklumat daripada tok guru (Nik Aziz), cuma tahu daripada akhbar saja... saya tidak dapat kenyataan penuh. Jadi, saya akan jumpa tok guru untuk mendapatkan maklumat lanjut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini, semalam.

Beliau mengulas pelawaan Menteri Besar Kelantan kepada Najib supaya berdebat secara terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik antara kedua-dua parti yang berlarutan.

Sementara itu, Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana debat secara terbuka tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.

"Tujuan debat itu untuk apa? Kalau nak cari populariti berdebatlah. Tapi kalau nak selesai masalah, dialoglah," katanya.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kedua-dua pihak menggunakan pentas lebih sesuai iaitu berbincang mencari kesepakatan Islam dan Melayu menerusi dialog tertutup.

"Saya lebih suka diadakan dialog tertutup dan berbincang dalam bentuk kumpulan. Kita akan tahu apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati antara kita semua," katanya.

Zulkifli berkata, dialog itu juga perlu dihadiri seorang pengendali yang berpengalaman dalam agama dan ummah bagi memastikan kelancaran.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayob pula mengakui idea Nik Abdul Aziz itu tidak dibincangkan pada peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, sebaliknya atas kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Bagaimanapun, beliau menyokong debat terbuka antara Pas dan Umno.

Ditanya kemungkinan cadangan debat mendapat tentangan pemimpin Pakatan Rakyat seperti isu kerajaan perpaduan sebelum ini, beliau berkata, kedua-dua isu itu dua perkara berbeza.

Sementara itu, di KOTA BHARU, Nik Abdul Aziz berkata beliau tetap akan menghantar surat kepada Najib untuk mengajaknya berdebat walaupun pelbagai pihak membantah hasratnya itu.

Sambil melahirkan rasa kecewa, beliau berkata, tindakan Umno itu tidak betul kerana belum sempat surat dikirim, keputusan menolak sudah dibuat.

"Laporan akhbar hari ini, nampaknya semua sebut tidak mahu debat. Saya dukacita kerana debat ini cara paling baik dalam Islam dan demokrasi," katanya kepada pemberita di pejabatnya, di Kota Darulnaim, di sini, semalam.






Saya tidak dimaklum – Hadi

KUALA LUMPUR 29 Jun – Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan berjumpa dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai cadangannya mahu berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Pas itu berkata, Mursyidul Am Pas itu tidak pernah memaklumkan kepadanya mengenai perkara tersebut dan tiada sebarang perbincangan dilakukan antara mereka berhubung debat berkenaan.

“Saya belum dapat apa-apa maklumat daripada Tok Guru Nik Abdul Aziz, cuma tahu daripada akhbar sahaja.

“Saya tidak dapat nak komen kerana tak dapat kenyataan penuh daripada Tok Guru. Saya akan jumpa beliau mengenai maksud itu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz kelmarin yang mencabar Najib berdebat secara terbuka berhubung kemelut yang melanda Pas dan UMNO.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, cadangan Nik Abdul Aziz itu sesuatu yang baik.

“Saya rasa kita tidak perlu takut dengan debat ataupun muzakarah dan seumpamanya, tetapi saya rasa dalam konteks Tok Guru ini, pelawaan itu adalah satu perdebatan peribadi antara beliau dan Najib.

“Perdebatan ini elok untuk diadakan dan perlu ada stesen televisyen yang menyiarkan siaran langsung perdebatan itu. Ini akan menunjukkan satu proses demokrasi di kalangan pemimpin negara kita,” katanya.

Salahuddin berkata, beliau difahamkan Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan akan menghantar surat pelawaan berdebat hari ini kepada Najib.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, penolakan daripada ahli-ahli UMNO terhadap cadangan debat itu agak mengecewakan.

“Sudah tentu kita kecewa. Ini menunjukkan ketidaksediaan UMNO bersemuka dengan kita dalam suasana yang boleh dilihat oleh rakyat.

“Ini adalah satu peluang untuk kedua-dua parti memberikan pandangan masing-masing,” katanya.

No comments: