Pemimpin politik, NGO bidas
KUALA LUMPUR 29 Jun – Pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membidas tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat.
Mereka menyifatkan cabaran debat oleh Menteri Besar Kelantan itu sebagai satu perkara sia-sia kerana ia akan menyebabkan perpecahan lebih teruk di kalangan masyarakat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, debat terbuka bukan jalan penyelesaian kepada masalah yang berlaku kerana banyak kaedah lain yang boleh diambil seperti perbincangan berhemah.
Katanya, sebagai seorang yang digelar ‘tok guru’, Nik Abdul Aziz sendiri lebih mengetahui jalan penyelesaian terbaik tetapi beliau memilih debat terbuka kerana ingin ‘bermain politik’.
“Saya tidak fikir Perdana Menteri tidak mampu berdebat dengan Nik Abdul Aziz tetapi kerana beliau memikirkan kesan kepada kehidupan bermasyarakat dan negara,” katanya di Ipoh hari ini.
Beliau mengulas cabaran Nik Abdul Aziz yang mengajak Najib berdebat secara terbuka ekoran tindakan Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan itu kerana didakwa memfitnah UMNO dalam ceramah di Manek Urai baru-baru ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar pula berkata, Nik Aziz cuba ‘menunjuk pandai’ apabila mencabar Perdana Menteri berdebat dalam dakwaannya bahawa UMNO adalah sama dengan komunis dan ajaran sesat.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, perdebatan yang dianggap kerja sia-sia itu bakal menjadi majlis paling tidak berfaedah seandainya diadakan.
Tegasnya, Nik Abdul Aziz tidak perlu ‘mencuri pandangan’ masyarakat menerusi jemputan debat dengan mengandaikan masyarakat melupakan kesalahannya yang menolak kerajaan perpaduan baru-baru ini.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment