Umno sasar pemilih muda Manek Urai
Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my
Gerakan Prihatin Desa usaha buru kemenangan
KUALA KRAI: Seramai 3,020 pengundi berusia bawah 40 tahun yang berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai menjadi sasaran utama kempen Pemuda Umno menerusi gerakan Pemuda Prihatin Desa yang dilancarkan semalam.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya sudah mengenal pasti semua pengundi muda untuk didekati sepanjang tempoh kempen dalam usaha menjana kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.
"Untuk tujuan itu, kami menggerakkan kira-kira 1,000 petugas tetap kempen yang terdiri Pemuda Umno bahagian Kuala Krai dan seluruh Kelantan, menerusi program bengkel motosikal, ziarah rumah ke rumah, sukan, mendampingi masyarakat setempat serta bergotong royong di masjid dan surau.
"Semua Exco Pemuda Umno termasuk saya sendiri, akan bermalam dengan keluarga angkat di Manek Urai sambil menjalankan program yang dirancang. Pendekatan ini akan digunakan sepanjang tempoh kempen pilihan raya kecil ini," katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas meninjau program bengkel motosikal yang dianjurkan Pemuda BN di Laloh, dekat sini, semalam. Turut hadir Ketua Pemuda Kelantan, Anuar Safian dan Ketua Pemuda bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat.
Sempena program itu, kira-kira 300 penduduk setempat keluar bersama motosikal masing-masing untuk mendapatkan kemudahan servis percuma oleh sembilan mekanik yang disediakan Pemuda BN dengan kerjasama Waziboys yang diketuai oleh bekas Juara Cubprix Kebangsaan, Wazi Abdul Hamid.
Selepas meninjau program itu, Khairy turut meluangkan masa kira-kira sejam untuk beramah mesra sambil bertemu peniaga dan orang ramai yang mengunjungi pasar minggu di Kampung Laloh. Malah, Khairy turut melawat dan bertemu petugas Pas di markas berhampiran.
Khairy berkata, beliau sudah mengarahkan semua petugas jentera pilihan raya Pemuda Umno yang menyertai kempen ini supaya menyesuaikan diri dengan sensitiviti penduduk tempatan.
Katanya, beliau sendiri akan memantau kehadiran jentera petugas dari luar Kelantan bagi memastikan mereka yang datang benar-benar menjalankan tugas membantu kempen pilihan raya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment