UMNO perlu bijak urus persepsi - Isa
KUALA LUMPUR 26 Jun - Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menguruskan persepsi dengan baik dan berkesan menjadi punca pakatan pembangkang berjaya meraih sokongan rakyat dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini.
Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, semua pihak harus menerima hakikat bahawa dalam konteks politik semasa, persepsi telah menjadi senjata utama pembangkang mempengaruhi rakyat dan ia sememangnya terbukti berkesan.
Sehubungan itu, beliau meminta UMNO dan BN mengubah persepsi negatif yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang supaya rakyat mengetahui kedudukan sebenar bagi satu-satu isu.
"Bukan masanya kita berada dalam zon selesa. Kita tidak boleh menjadi malas kerana serangan politik yang kita hadapi sekarang amat licik. Pembangkang sekarang rajin mencipta persepsi hingga mereka berjaya meraih sokongan rakyat.
"Mahu tidak mahu kita perlu hadapi apa jua persepsi yang sengaja ditimbulkan pembangkang. UMNO dan BN perlu cepat bertindak sebelum rakyat benar-benar terpengaruh. Jangan nanti kita tersungkur pada pilihan raya umum ke-13," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel forum bual bicara bertajuk Antara persepsi, manipulasi dan provokasi di ibu pejabat UMNO di sini malam ini.
Forum itu dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya.
Ia turut disertai Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain dan penulis blog Sang Kelembai, Zaharin Mohd. Yassin.
Mohd. Isa berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah individu yang cekap menguruskan persepsi yang sengaja ditimbulkan oleh pihak pembangkang.
"Ketika menjadi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir diberi macam-macam gelaran oleh pembangkang dengan tujuan untuk membina persepsi buruk terhadap Tun.
"Apa yang tidak pernah digelar, diktator, mahazalim, mahafiraun dan macam-macam lagi tetapi Tun seorang yang bijak menguruskan persepsi hingga menyebabkan masyarakat umum tidak mudah terpengaruh," katanya.
Sementara itu, Ahmad Atory berkata, terdapat ramai pensyarah kanan universiti ketika ini telah kembali menyokong UMNO apabila mereka melihat ada kepincangan di dalam Pas.
"Oleh itu, UMNO perlu menjadi lebih kuat terutama dalam konteks memperjuangkan Islam. Sebenarnya kemenangan Pas selama ini bukan sebab parti itu kuat tetapi disebabkan UMNO lemah," tambahnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment