Adun Sementa fail saman malu isu PKFZ
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil akan memfailkan saman malu terhadap beberapa pihak berikutan laporan juruaudit, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) yang mengaitkan namanya dalam isu projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Katanya, saman yang akan dikemukakan dalam masa terdekat bertujuan membersihkan namanya yang didakwa tercemar kerana laporan itu disifatkannya sebagai tidak adil dan satu penganiayaan.
Beliau mendakwa laporan yang diedarkan untuk tatapan umum oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) pada 28 Mei lalu itu menyebabkan kredibilitinya sebagai pemimpin tercalar akibat digambarkan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam kemelut PKFZ.
“Sebelum laporan itu diedarkan, saya tidak dipanggil oleh mana-mana pihak sama ada oleh PwC atau LPK untuk memberi keterangan. Saya juga tidak pernah dipanggil selepas laporan dikeluarkan tetapi nama saya sudah busuk akibat persepsi rakyat. Saya tahu kesan negatif akibat laporan itu.
“Saya tahu juruaudit yang dilantik mungkin tidak boleh disaman tetapi kalau laporannya lebih banyak berbentuk fitnah, bagi saya ia tidak adil dan kebenaran perlu dicari,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Ketika ini, beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan menyaman PwC, LPK dan beberapa individu tertentu yang mengeluarkan kenyataan dan disiarkan pihak media.
Abdul Rahman yang juga Ketua Umno Kapar berkata, beliau atas nasihat peguam buat pertama kali membuat kenyataan media bagi menafikan sekeras-kerasnya ada kepentingan dalam isu PKFZ seperti laporan PwC.
Beliau menjelaskan tidak ada sebarang asas membolehkan PwC membuat rumusan bahawa kedudukannya mahupun pertanyaan yang dibangkitkan pada satu mesyuarat bulanan Lembaga LPK pada 24 Oktober 2001 mengenai pembelian langsung tanah oleh LPK berpotensi membangkitkan konflik kepentingan.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment