|
|
KUALA KRAI 26 Jun – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin keterlaluan dalam berpolitik mungkin kerana terlalu lama memimpin negeri ini sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan umat Islam.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, kenyataan yang menyamakan UMNO dengan komunis dan ajaran sesat ‘Ayah Pin’ adalah fitnah yang amat jelas.
Katanya, kenyataan tersebut amat bertentangan dengan dasar perjuangan parti itu yang dikatakan bergerak atas landasan Islam.
Tegasnya, Nik Abdul Aziz perlu ingat bahawa kerajaan yang dipimpin oleh UMNO telah berjuang berhabis-habisan menghapuskan ancaman komunis di negara ini dan memerangi unsur-unsur yang boleh menjejaskan pegangan umat Islam.
“UMNO yang berjuang untuk menghapuskan komunis di negara ini, UMNO juga yang bermati-matian mempertahankan tanah air ini, kalau tidak kerana UMNO yang mengharamkan komunis Nik Abdul Aziz pun belum tentu lagi hidup di Malaysia.
“Kita sama sekali tidak menyokong perjuangan komunis atau Chin Peng, yang menyokong Chin Peng adalah rakan sekutunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan bekas pemimpin parti itu dibawa masuk ke negara ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera Pemuda BN di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.
Program itu dihadiri kira-kira 2,000 jentera Pemuda BN dari seluruh negeri ini termasuk exco Pemuda UMNO.
Isnin lalu, ketika berceramah di Padang Awam Laloh, Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyamakan UMNO dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis kerana menolak Islam.
Pada sidang akhbar, Mustapa yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai berkata, beliau tidak terkejut dengan kenyataan Nik Abdul Aziz itu kerana pemimpin-pemimpin Pas sentiasa marahkan UMNO walaupun tidak mempunyai sebab yang kukuh.
“Nik Abdul Aziz selalu marah-marah bukan perkara baru, dia marah sejak beberapa tahun lalu dan meluahkan pelbagai kata-kata serta mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas.
‘‘Kita rasa ini satu reaksi seorang pemimpin yang lama sangat memimpin di Kelantan dan mungkin beliau sudah terlalu lama dan letih,” katanya.
Menurutnya, telah tiba masanya untuk BN bekerja keras menghapuskan keangkuhan pemimpin pembangkang yang semakin menjadi-jadi selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.
“Kita mahu menang di Manek Urai, kita akan mulakan kerja di sini untuk Pilihan Raya Umum Ke-13, kemenangan ini bukan saja untuk Manek Urai tetapi untuk pilihan raya umum akan datang,’’ katanya.
Oleh itu, tegasnya, Pilihan Raya Kecil Manek Urai akan menjadi penanda aras untuk BN pada pilihan raya umum akan datang.
‘‘Manek Urai akan menjadi titik perubahan kepada Kuala Krai, Kelantan dan negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment