Thursday, May 21, 2009

Undang-undang dirujuk ambil tindakan ke atas Uthayakumar

Undang-undang dirujuk ambil tindakan ke atas Uthayakumar

PUTRAJAYA 20 Mei – Lembaga Penasihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan dirujuk untuk melihat dari segi undang-undang berhubung pelaksanaan penguatkuasaan ke atas tahanan akta yang enggan bertemu lembaga tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada undang-undang sama ada kerajaan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas tahanan yang enggan berbuat demikian.

‘‘Saya akan merujuk kepada Lembaga Penasihat berhubung perkara ini yang akan mengkaji semula setiap enam bulan berhubung kedudukan tahanan ISA dan mereka yang ditahan di bawah Ordinan Darurat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 140 pegawai Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Mohamed Nazri mengulas tindakan pemimpin kumpulan Hindraf, P. Uthayakumar yang enggan bertemu Lembaga Penasihat ISA semalam.

Mengenai tindakan Hindraf mencabar kerajaan untuk mengadakan protes jalanan sekiranya arahan terhadap pemimpin mereka itu bertemu Lembaga Penasihat ISA tidak ditarik balik, Mohamed Nazri berkata, sesiapa pun tidak boleh mengatasi undang-undang.

‘‘Sebarang perhimpunan haram yang tidak ada permit polis, kita akan laksanakan kuasa undang-undang dan tidak ada siapa di negara ini boleh melanggar undang-undang,” katanya.

Mohamed Nazri berkata, sesebuah pertubuhan haram tetap tidak akan dibenarkan beroperasi walaupun ahli pertubuhan itu sudah insaf dan berjanji tidak akan melakukan sesuatu kesalahan.

‘‘Itu tidak bermakna jika seseorang individu dilepaskan daripada tahanan, maka pertubuhan itu dibenarkan semula dan tidak diharamkan.

‘‘Kita tidak menghalang sebarang penubuhan persatuan jika ia tidak bertentangan dengan perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata, permit bas persiaran akan ditarik balik serta-merta sekiranya perkhidmatan awam itu didapati melanggar syarat dengan membawa penumpang selain pelancong.

‘‘Bas persiaran hanya dibenarkan membawa pelancong sahaja dan jika mereka tidak mematuhi syarat itu, kita akan tarik balik permit mereka tanpa diberikan sebarang notis awal,” katanya.





Uthayakumar diberi amaran keras

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 20 Mei - Kerajaan tidak akan teragak- agak mengambil tindakan tegas ke atas pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar jika beliau melanggar undang-undang negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, setakat ini tindak-tanduk penasihat undang-undang Hindraf itu hanya berupa ancaman tetapi jika terbukti menjejaskan undang- undang, pihaknya tidak akan berkompromi.

Setakat ini, kata beliau, tiada tindakan akan dikenakan ke atas Uthayakumar berikutan keengganannya bertemu Lembaga Penasihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam.

''Ia bukanlah satu syarat kepada penahanannya (di bawah ISA sebelum ini). Lembaga Penasihat (ISA) memanggil bukan sahaja beliau tetapi sesiapa sahaja (bekas tahanan) untuk melihat tahap pemulihan mereka.

''Jadi, jika dia tidak hadir, ia hanya akan berkisar kepada laporan lembaga. Namun saya mahu ingatkan bahawa kita tidak akan berkompromi jika dia (Uthayakumar) melanggar undang-undang negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kementeriannya akan mengkaji semula semua akta di bawah bidang kuasanya terutama ISA yang antaranya membabitkan kuasa penahanan oleh menteri dan menentukan sama ada sesuatu perhimpunan haram atau sebaliknya.

Ini kerana, kata beliau, perubahan landskap politik hari ini menuntut supaya dikaji semula undang-undang yang suatu ketika digubal untuk keperluan keadaan ketika itu.

''Suasana hari itu dikaitkan dengan darurat, ancaman komunis, konfrantasi dan rusuhan 13 Mei (1969) yang perlu pula dilihat masa kini yang ia bukan lagi berbentuk ancaman.

''Jadi, beberapa perubahan yang perlu dilihat ini merupakan pandangan akar umbi dan bersandarkan rasional," katanya.

Kata beliau: ''Ia bukannya berdasarkan perjuangan sempit pihak tertentu, jangan perjuangan itu nanti menjejaskan hak orang lain pula."

No comments: