Jangan sesekali tunduk - MTRK
KOTA BHARU 20 Mei - Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) menggesa kerajaan agar tidak sesekali tunduk kepada kata dua pemimpin Hindraf dan bertindak lebih tegas terhadap pertubuhan haram itu demi mempertahankan undang-undang negara ini.
Sambil menyokong kuat kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tentang tindak tanduk Hindraf yang mengancam keselamatan negara, Presidennya, Zahari Kechik berkata, MTRK memandang berat dan amat serius terhadap ancaman pemimpin Hindraf itu.
Menurutnya, jika dibiarkan, perbuatan mereka itu akan mencetuskan masalah yang lebih besar terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.
"Jika Hindraf dilihat terus mengancam keselamatan negara dan keharmonian kaum, jangan teragak-agak, tangkap dan 'sumbat' kembali pemimpin-pemimpinnya ke dalam pusat tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
"Mereka tidak pernah serik, malah lebih biadab dan keterlaluan sehingga berani memberi kata dua, siapa mereka yang boleh 'memijak' undang-undang negara ini dan berlagak seperti tuhan," tegas beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan kebimbangan Perkasa terhadap tindak-tanduk biadab pertubuhan haram Hindraf jika tidak dihentikan segera dikhuatiri akan membawa kepada permasalahan keselamatan negara yang lebih besar.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau telah menyampaikan kebimbangan itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan timbalannya, Tan Sri Ismail Omar dalam pertemuan hampir dua jam semalam.
Zahari berkata, sejak awal lagi, Hindraf langsung tidak berhak untuk mempersoalkan atau memberikan kata dua kepada kerajaan kerana mereka adalah sebuah pertubuhan haram apatah lagi untuk mengugut kerajaan.
"Kami memberi amaran keras kepada Hindraf supaya insaf dan sedar bahawa negara ini bukan untuk satu kaum iaitu India sahaja semua kaum dalam negara ini ada hak, sekiranya mereka mahu turun ke jalan raya untuk menunjukkan kekuatan, kami umat Melayu juga boleh lakukan begitu, tetapi kami sedar ia akan memburukkan lagi keadaan.
"Mereka juga harus faham dan mengambil kira perasaan kaum lain terutamanya orang Melayu dan jangan sesekali memberi kata dua kepada polis yang hanya menjalankan tugas mengikut perlembagaan," tegas beliau.
Tambahnya, jika dibiarkan, pihaknya tidak terkejut sekiranya Hindraf akan bertindak lebih teruk daripada sebelum ini dan mereka akan mengundang lebih banyak masalah kepada negara.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment