Thursday, May 21, 2009

Dr Khir, 4 Adun rujuk peguam

Dr Khir, 4 Adun rujuk peguam
Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bharian.com.my

SHAH ALAM: Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan merujuk kepada peguam mengenai cadangan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor (JKHK) untuk menggantung mereka daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kemudahan elaun sebagai Adun.

Bekas Menteri Besar itu mendakwa, sesi pendengaran awam yang diadakan Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor Mac lalu bermotif politik untuk ‘menutup mulut’ wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang mengkritik dan menegur kerajaan Selangor.

Beliau menyifatkan hukuman yang dicadangkan JKHK terhadapnya dan empat lagi Adun BN kelmarin sebagai zalim kerana ia cuba menggantung tugas wakil rakyat yang memberi teguran membina.

Katanya, ia hanya usaha membalas dendam terhadap apa yang berlaku kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Teng Chang Khim yang pernah digantung tugas sebagai Adun selama 30 bulan dan dilucut segala elaun dan keistimewaan pada 2005 kerana membuang buku Peraturan Mesyuarat ke dalam tong sampah pada sidang DUN.

"Mungkin saya tidak hadir dikenakan (tindakan) setahun, saya boleh terima, tetapi Adun lain, mereka hanya menegur, hanya bercakap bahawa Selcat patut menjalankan perbicaraan secara tertutup. Itu pun kena enam bulan (digantung).

"Apa yang dilakukan ini adalah untuk membalas dendam," katanya pada sidang media mengenai hukuman yang dicadangkan JKHK terhadapnya dan empat lagi Adun, di sini semalam.

Kelmarin, JKHK mencadangkan supaya Dr Mohamad Khir dikenakan tindakan digantung tugas sebagai Adun selama setahun dan semua elaun dan faedah serta keistimewaan yang dinikmati sebagai Adun turut dilucutkan sepanjang tempoh itu.

Hukuman itu dicadangkan bagi kesalahan Dr Mohamad Khir tidak menghadiri serta mempersoalkan kredibiliti sesi pendengaran awam jawatankuasa itu.

Beliau dan empat lagi Adun BN iaitu Adun Dengkil, Datuk Marsom Paing; Adun Sabak, Datuk Warno Dogol; Adun Batang Kali, Isa Abu Kassim; dan Adun Hulu Bernam, Datuk Mohd Idris Abu Bakar turut didapati bersalah dan akan menghadapi hukuman digantung daripada menghadiri sidang DUN selama enam bulan serta elaun dan keistimewaan mereka sebagai Adun turut dilucutkan kerana mengeluarkan kenyataan mengkritik, menyentuh hak dan kebebasan Selcat.

Dr Mohamad Khir berkata, jawatankuasa itu jelas bermotif politik berikutan sesi pendengaran awam itu dilakukan ketika Umno sibuk dengan Pemilihan Agung pada Mac lalu, selain ahli panel Selcat juga terdiri daripada ahli politik dan bukan individu yang bersikap berkecuali.

"Kalau Selcat nak telus, mereka patut lantik orang yang tidak ada kepentingan politik. Lantiklah bekas hakim atau bekas pegawai kanan kerajaan yang berpengalaman. Ini lantik musuh politik saya. Adakah itu telus atau kebertanggungjawaban?

"Mana ada wakil rakyat pembangkang nak kata BN betul? Mana ada? Awak bagi duit pun dia kata tak betul," katanya.

Katanya, beliau mahu melihat sama ada Selcat berani menyiasat pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap kerajaan Selangor yang diterajui PR seperti mana jawatankuasa itu menyiasat isu membabitkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis).

Ditanya sama ada beliau dan empat Adun berkenaan akan mempertahankan diri pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Julai ini, Dr Mohamad Khir berkata, mereka akan membela diri, namun ia tidak bermakna kerana keputusan sudah pun dicapai berikutan majoriti berpihak kepada wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat.

Dr Mohamad Khir berkata, semua Adun yang bakal menerima hukuman itu sudah sepakat untuk meneruskan kerja seperti biasa walaupun akan digantung tugas dan tidak lagi menerima elaun serta pelbagai faedah lain sepanjang tempoh itu.




Khir ambil tindakan mahkamah


Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 20 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo akan mengambil tindakan mahkamah ekoran cadangan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Selangor supaya beliau dikenakan hukuman gantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama setahun.

Bekas Menteri Besar itu berkata, tindakan mahkamah adalah antara keputusan yang boleh dilakukan termasuk empat lagi ADUN daripada Barisan Nasional (BN) yang turut digantung selama enam bulan setiap seorang.

Empat ADUN terbabit ialah Datuk Mohamed Idris Abu Bakar (Hulu Bernam), Datuk Warno Dogol (Sabak), Mohd. Isa Abu Kasim (Batang Kali) dan Datuk Marsum Paing (Dengkil).

Katanya, tindakan mahkamah akan diputuskan setelah beliau menerima nasihat dan pandangan daripada peguam.

"Kita akan mendapatkan nasihat daripada peguam untuk mengambil tindakan lanjut mengenai cadangan jawatankuasa itu yang kita anggap tidak adil sama sekali.

"Jika mereka mahu menggantung kerana marah atau dendam dengan saya sering mengkritik kerajaan negeri, tak apa.... tapi rakan-rakan (empat ADUN) saya turut menjadi mangsa kerana hanya memberi pandangan mereka terhadap Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, jawatankuasa khas dipengerusikan oleh Teng Chang Khim yang juga Speaker DUN memutuskan untuk menggantung bekas Menteri Besar Selangor itu daripada menghadiri sidang DUN selama setahun kerana tidak hadir pada pendengaran awam yang dilaksanakan oleh Selcat pada Mac lalu.

Keputusan jawatankuasa itu termasuk menghentikan kesemua pembayaran elaun serta keistimewaan sebagai ADUN kepada Mohamad Khir yang juga wakil rakyat Sungai Panjang sepanjang tempoh penggantungan itu.

Mohamad Khir berkata, beliau menyifatkan keputusan yang diumumkan oleh Chang Khim itu sebagai percubaan kerajaan negeri pimpinan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas untuk menghalangnya serta empat ADUN tersebut daripada menjalankan tugas mereka sebagai pembangkang negeri.

Katanya, cadangan itu turut digambarkan seolah-olah kerajaan negeri mengamalkan sifat 'ala diktator' kerana menyekat kebebasan beliau serta ADUN BN lain untuk menegur, mengkritik serta memberikan pandangan terhadap cara pentabdiran negeri.

"Kita lihat tindakan (gantung) oleh kerajaan negeri menunjukkan mereka takut dan tidak boleh terima teguran. Namun, saya akan teruskan kerja-kerja saya (sebagai pembangkang) seperti biasa termasuk menerangkan kepada seluruh rakyat Selangor mengenai cara pentadbiran negeri ketika ini.

"Jika kerajaan negeri tidak boleh dikritik, saya percaya bukan saya sahaja mungkin pihak media juga akan turut dikenakan tindakan selepas ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamad Khir menjelaskan, beliau tidak hadir dalam sesi pendengaran Selcat berhubung penggunaan wang penajaan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) kerana bukan ahli badan itu.

Malah, jelas beliau, Selcat tidak ada kuasa dan hak untuk menyiasat serta mempersoalkan hal ehwal badan itu kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa Pendaftar Pertubuhan (ROS) bukannya Selcat yang hanya boleh memanggil anak syarikat kerajaan negeri.

Beliau berkata, badan itu telah pun dibubarkan selain mendapat kelulusan daripada ROS, manakala siasatan polis juga menunjukkan tidak wujud sebarang kesalahan dalam Balkis.

"Jika mereka kata ada hak (memanggil pertubuhan), saya cabar mereka panggil dan persoalkan kedudukan kewangan DAP ataupun PKR yang sebelum ini dikaitkan dengan penyaluran wang sumbangan yang dikutip sempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat Selangor tahun lalu," ujarnya.

No comments: