Calon Bebas keturunan Siam tawar diri
BUTTERWORTH 20 Mei - Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila seorang lagi individu menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas.
Seorang penduduk berketurunan Siam, Nai Khan Ari, 41, seorang pengurus kilang di sini memberitahu, beliau telah mengambil borang pencalonan untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.
"Setakat ini saya belum membuat keputusan lagi namun saya tidak menolak kemungkinan akan bertanding atas tiket Bebas," katanya.
Sekiranya Nai meneruskan hajatnya, beliau akan menjadi calon berketurunan Siam pertama menyertai gelanggang politik dalam negara biarpun ia bermula dengan pilihan raya kecil di Penanti.
"Saya melihat keadaan politik hari ini amat tidak sihat kerana terlalu banyak politiking dan pihak terlibat tidak memikirkan pembangunan untuk rakyat,'' katanya.
Menyedari hari penamaan calon yang tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Sabtu ini, katanya, selewat-lewatnya esok beliau akan membuat keputusan rasmi sama ada bertanding atau tidak di Penanti.
Nai merupakan anak kelahiran Kampung Telok Wang, Penanti dan telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai tiga orang cahaya mata.
Selain Nai dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr. Mansor Othman, terdapat dua lagi yang menawarkan diri untuk bertanding atas tiket Bebas iaitu bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Aminah Abdullah dan ahli perniagaan, Mohd. Saberi Othman.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment