Thursday, May 21, 2009

Tiada kompromi ugutan Hindraf

Tiada kompromi ugutan Hindraf
Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mengugut mengadakan demonstrasi jalanan jika meneruskan hasrat mereka itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata beliau memandang serius ugutan berkenaan terhadap kerajaan dan kementeriannya.

Sebelum ini, Hindraf mengugut akan mengadakan demonstrasi jika arahan terhadap penasihat undang-undangnya, P Uthayakumar menghadiri sesi perjumpaan dengan Lembaga Penasihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak ditarik balik.

“Saya pandang serius kenyataan beliau. Tuduhan dan tindakan yang berunsur ugutan sebenarnya bukan saja kepada kerajaan tetapi kementerian.

"Jika melanggar undang-undang, kita tetap akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tidak akan mengambil tindakan terhadap Uthayakumar yang enggan berjumpa lembaga penasihat berkenaan kerana ia bukan syarat penahanannya.

"Saya dimaklumkan ia bukan syarat kepada penahanan, sebaliknya untuk melihat tahap pemulihan setiap mereka yang ditahan ISA. Jika tidak hadir, ia lebih berkisar kepada sikap dan laporan lembaga kepada kementerian kelak," katanya.

Laporan sebelum ini menyebut, Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, yang kini tinggal di luar negara, memberi kata dua kepada kerajaan supaya menarik balik arahan terhadap abangnya, Uthayakumar bertemu dengan lembaga berkenaan atau sekali lagi berdepan dengan protes jalanan di seluruh negara.

Hishammuddin berkata keengganan Uthayakumar menandatangani dokumen ketika pembebasannya juga tidak melanggar undang-undang atau memberi kesan kepada pembebasannya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata keputusan kerajaan membebaskan pemimpin Hindraf tidak bermakna pertubuhan itu bebas menjalankan kegiatan termasuk demonstrasi jalanan.

Katanya, ini kerana kerajaan tidak pernah mengiktiraf kewujudan Hindraf sebagai sebuah kumpulan yang sah mengikut undang-undang.

"Hindraf dan pemimpinnya adalah dua entiti berbeza. Jadi, langkah membebaskan pemimpinnya tidak bermakna kita (kerajaan) mengiktiraf kegiatan mereka.

"Perkara yang sama berlaku dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Parti itu tetap haram mengikut undang-undang tetapi ahlinya dibenarkan kembali ke negara ini selepas bersetuju mematuhi perjanjian," katanya.

No comments: