NGO buat laporan polis terhadap Hindraf
KUALA LUMPUR 20 Mei - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap pertubuhan haram Hindraf berhubung khabar angin kemungkinan ia merancang mengadakan satu protes jalanan di ibu negara pada pertengahan bulan depan.
NGO tersebut, Pertubuhan Sukaralewan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) yang diwakili Presidennya, R. Jeevan (gambar) membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, pada pukul 5 petang.
Menurut Jeevan, Pencegah membuat laporan polis tersebut sebagai tanda bantahan ke atas sebarang tindakan di luar batasan undang-undang yang dirancang Hindraf.
"Pencegah membantah sebarang perhimpunan haram kerana ia menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. Kita tidak mahu insiden pada 25 November 2007 berulang dan menyebabkan keadaan di ibu negara huru-hara.
"Jadi kami harap pihak berkuasa akan mengambil tindakan bagi mengelak ia berlaku lagi," katanya kepada pemberita sebaik membuat laporan polis di sini hari ini.
Tambah Jeevan, pihaknya berpendapat Hindraf sengaja merancang mengadakan protes jalanan kerana ingin membalas dendam selain mencabar kerajaan dan undang-undang negara.
"Hindraf tidak patut menguji dan mencabar kerajaan dengan tindakan sedemikian (protes jalanan), segala masalah boleh diselesaikan menerusi rundingan," ujarnya.
Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan Hindraf merancang mengadakan protes jalanan sekiranya arahan terhadap pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar untuk bertemu dengan Lembaga Penasihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak ditarik balik.
Kata dua itu dikeluarkan oleh Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy yang juga adik kepada Uthayakumar.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment