Thursday, May 21, 2009

Perak pastikan rungutan rakyat diselesai segera

Perak pastikan rungutan rakyat diselesai segera


IPOH: Badan Perhubungan Umno Perak akan mengubah pendekatannya mendekati rakyat dengan memastikan semua perkara asas yang menjadi kegelisahan dan rungutan mereka selama ini menjadi perhatian utama parti itu untuk diselesaikan segera.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata parti itu juga akan memperkenalkan penilaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan rakyat menjadi penentu keberkesanannya dalam usaha mengembalikan kekukuhan parti itu.

"Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak malam tadi (kelmarin) yang antara lain turut membincangkan kedudukan parti pada kacamata masyarakat, keahliannya serta dakwaan banyak struktur kepemimpinan parti peringkat bahagian terutama jawatan penting dikuasai ahli keluarga pemimpin.

"Semua ini kita bincang dan kaji semula sebagai usaha memperkukuh kedudukan parti dan mengembalikan semula Umno kepada rakyat selain melancarkan beberapa program bersama rakyat tidak lama lagi," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.

Zambry berkata, pendekatan itu dilaksanakan selepas mengambil contoh sejarah Parti Buruh di Britain yang pernah menghadapi masalah dalaman, kembali popular dan mendapat mandat besar rakyat di negara itu selepas pemimpinnya, Tony Blair menggunakan pendekatan kembali kepada rakyat.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Menteri Besar, berkata kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencari mekanisme baru mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan permohonan orang ramai khususnya di peringkat daerah.

Katanya, kerajaan negeri mengenal pasti antara isu utama yang menjadi rungutan rakyat ialah kelewatan meluluskan sesuatu permohonan terutama di peringkat daerah, sebagai contoh permohonan untuk mendapatkan geran tanah mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

Beliau berkata, walaupun beberapa tindakan sudah diambil seperti melaksanakan permohonan dalam internet seperti e-tanah, ia masih belum mencukupi untuk memudahkan urusan rakyat terutama kepada penduduk luar bandar yang sebahagian besarnya masih berurusan secara datang ke pejabat.

No comments: