Tuesday, May 19, 2009

SPRM diminta siasat politik wang dalam Pas

SPRM diminta siasat politik wang dalam Pas
Oleh Norliza Wasilan
norlizawasilan@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat dakwaan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi mengenai politik wang dalam pemilihan parti itu dan kenyataan susulan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenainya.

Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, berkata kenyataan dikeluarkan dua pemimpin tertinggi Pas berhubung gejala rasuah dalam parti berkenaan seolah-olah mengesahkan penggunaan wang secara salah dalam pemilihan parti itu.

“Ini bukan soal ‘diberi ambil... tapi jangan undi mereka yang memberi’ (kenyataan Nik Aziz), tetapi ia membabitkan pengakuan mengenai berlakunya soal penggunaan wang secara salah.

“Perkara ini mustahak kerana kenyataan dikeluarkan (oleh pemimpin Pas itu) tiada unsur paksaan. Walaupun tahu laporan perlu dibuat, tetapi SPRM boleh membuat siasatan berhubung dakwaan ada unsur rasuah itu sebagai membuktikan kesungguhan kerajaan menghapuskan gejala itu semua peringkat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Mohamed dalam kenyataannya tidak gentar menghadapi tindakan tatatertib yang mungkin dikenakan terhadapnya kerana mendedahkan isu gejala rasuah dalam parti itu.

Sambil menyerahkan perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Disiplin Pas, Mohamed berkata, kenyataannya itu dibuat bagi mengingatkan semua ahli parti supaya tidak terjebak dengan gejala rasuah yang boleh merosakkan imej Pas.

Sementara itu, Nik Aziz pula dilaporkan berkata: “Saya cukup setuju perwakilan menolak mana-mana pemimpin mengamalkan politik sogokan, duit kita ambil, tetapi jangan undi orang macam ini, biar akhirnya dia berasa perit, bodoh dan tertipu”.

Ditanya sama ada Pemuda Umno akan membuat laporan secara rasmi kepada SPRM berhubung isu itu, Razali tidak menolak kemungkinan untuk berbuat demikian bagi membolehkan siasatan dilakukan terhadap dakwaan politik wang dalam Pas.

No comments: