Tuesday, May 19, 2009

Nizar pohon panel lima hakim dengar prosiding

Nizar pohon panel lima hakim dengar prosiding

PUTRAJAYA 18 Mei - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mahu panel lima hakim Mahkamah Rayuan mendengar permohonannya bagi mengetepikan perintah penangguhan yang diperoleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berhubung perisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa beliau Menteri Besar Perak yang sah.

Peguam Leong Cheok Keng ketika dihubungi menyatakan, pihaknya telah mengemukakan permohonan itu bagi pihak Mohammad Nizar dengan menghantar surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada pukul 4 petang ini.

Menurut beliau, Mohammad Nizar mahu agar permohonannya itu didengar oleh panel lima hakim atas alasan isu yang dibangkitkan melibatkan perlembagaan dan kepentingan awam.

Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar permohonan beliau hari ini tetapi ditangguhkan ke Khamis.

Pada 13 Mei lalu, Mohammad Nizar memfailkan notis usul kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan sehari sebelumnya yang membenarkan permohonan Zambry menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) sehingga rayuan penuh terhadap keputusan itu selesai.

Dua hari sebelum itu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim membenarkan permohonan semakan kehakiman Mohammad Nizar, 52, agar mahkamah mengisytiharkan beliau masih Menteri Besar yang sah berdasarkan perlembagaan negeri itu kerana beliau yang bertindak menasihati sultan untuk membubarkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Alasan-alasan penghakiman itu antara lain menyatakan, beliau masih Menteri Besar yang sah kerana tiada undi tidak percaya dibuat terhadapnya.

Selain itu, Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak tidak menyatakan bahawa seseorang Menteri Besar boleh dipecat atau jawatan itu boleh dikosongkan dalam keadaan beliau tidak meletak jawatan.

No comments: