Tuesday, May 19, 2009

Samy Vellu nafi cantas pesaing

Samy Vellu nafi cantas pesaing

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my


SAMY VELLU berinterasi secara langsung dengan pengunjung
NST Online di Balai Berita, semalam.


KUALA LUMPUR: "Saya bukan penumpang bas yang boleh turun apabila tiba di perhentian... saya adalah pemandu dan apabila memandu bas, saya mesti tahu di mana dan bila untuk berhenti," itulah analogi diberikan Datuk Seri S Samy Vellu ketika ditanya bila beliau mahu meletak jawatan.

Samy Vellu menjawab demikian ketika menjawab pertanyaan dan desakan supaya beliau mengundurkan diri sebagai Presiden MIC dan memberi laluan kepada generasi baru memimpin parti itu.

Samy Vellu berkata, beliau boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa sekiranya pihak yang membuat desakan itu berupaya menjadi `bomoh' untuk menjadikan MIC stabil dan kukuh dalam sekelip mata.

"Saya sudah membuat keputusan dan menetapkan masa untuk saya pergi (mengundurkan diri). Bukan kerana usia saya (nak undur), tetapi saya mahu menyerahkannya kepada pemimpin lebih muda. Namun ingat 'old is gold'.

"Pemimpin MIC pada masa depan harus bertumpu kepada usaha memajukan masyarakat (India) dan mesti sentiasa mendekati golongan miskin. Banyak perancangan harus dilaksanakan orang baru itu untuk meneruskan usaha yang sudah dibuat sejak 29 tahun lalu.

"(Mesti) seorang lelaki (pemimpin) yang berjiwa rakyat," katanya sambil tidak menafikan ada perancangan untuk menggantikan pemimpin veteran di beberapa negeri dengan generasi muda pada pemilihan MIC September ini.

Beliau berkata demikian ketika berinteraksi secara langsung dengan pengunjung laman web New Straits Times (NST) Online di Balai Berita di sini, semalam.

Bekas Menteri Kerjaraya juga membidas dakwaan bahawa beliau menghapuskan pesaingnya dalam MIC melalui pendekatan kuku besi seperti yang dilakukan kepada calon yang mencabarnya, Datuk M Muthupalaniappan, baru-baru ini.

"Tiada sesiapa menghapuskan sesiapa di dalam parti. Muthupalaniappan masih selamat dan memberi banyak kenyataan menentang semua orang. Kami hanya melihat saja.

"Sekiranya anda kata saya menggunakan kuku besi untuk menghapuskan ramai orang... saya bukan Adolf Hitler. Saya cuma Samy Vellu yang biasa. Sedihnya anda tersilap dan saya tidak fikir anda tahu apa yang berlaku dalam politik masyarakat India di Malaysia.

"Saya juga tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya lagi dan tidak pernah meminta sebarang jawatan menteri seperti yang didakwa," katanya.

Ketika ditanya kekesalannya dalam kehidupan politik, Samy Vellu berkata: "Apabila masyarakat India tidak memahami usaha dilakukan MIC untuk mereka selama ini".

Menjawab soalan mengenai kedudukan Maika Holdings, Samy Vellu berkata, Maika Holdings tidak muflis, sebaliknya memiliki aset RM160 juta dan tanah bernilai RM20 juta.

"Walaupun ada injunksi mahkamah menghalang Maika Holdings daripada menjual atau melupuskan ekuitinya dalam syarikat insurans dikuasainya... ada dua tawaran baru dan selepas itu pemegang saham boleh mendapatkan wang mereka semula.

Ketika menjawab persoalan menarik mengenai rambutnya pula, Samy Vellu berkata: "Saya tiada apa hendak disorokkan. Dua bahagian tengah kepala saya botak dan saya menjalani lapan pembedahan (pengurangan kulit kepala dan rambut) di Australia. Selepas pembedahan itu, saya masih mempunyai kulit kepala yang normal, rambut saya juga tulen. Saya tidak menanam apa-apa rambut."

No comments: