|
|
KUALA LUMPUR 18 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas tidak gentar berhadapan dengan cabaran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah bagi merebut jawatan tertinggi parti itu.
Beliau bagaimanapun mahu Murugiah terlebih dahulu berusaha untuk kembali menjadi ahli parti berkenaan setelah dipecat oleh Lembaga Disiplin PPP kerana melanggar disiplin.
Katanya, kalau tidak lagi menjadi ahli parti, bagaimana Murugiah boleh mencabar dirinya untuk jawatan Presiden PPP.
"Dia ada dua minggu untuk merayu, kalau dia lepas rayuan lepas itu kita tengoklah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cabaran yang dilontar Murugiah kepada Kayveas bagi membolehkannya bertanding jawatan Presiden PPP.
"Kalau anak jantan beri saya bertanding jawatan Presiden pada pemilihan parti bulan hadapan, jangan main taktik kotor, biar ahli parti yang tentukan siapa yang layak," kata Murugiah kepada Kayveas dalam satu sidang akhbar semalam.
Kayveas memberikan jaminan beliau tidak akan mencampuri urusan rayuan berkenaan.
Namun beliau juga berkata, Murugiah sepatutnya arif mengenai perlembagaan parti yang menetapkan seseorang ahli atau pemimpin hanya layak bertanding jawatan Presiden setelah minimum tujuh tahun menjadi ahli.
"Murugiah dalam tahun 2002 sudah keluar parti dan kemudian masuk balik, sebelum dia dipecat pun dia belum cukup tujuh tahun lagi kembali menjadi ahli, dia memang tahu sejak awal lagi dia tidak layak mencabar Presiden dari segi Perlembagaan PPP," katanya.
Kayveas berkata, ahli PPP pasti tidak akan menerima Murugiah kerana beliau mencadangkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar membubarkan parti itu.
"Saya beri nyawa kepada parti ini yang sudah hampir mati dahulu, apa ahli tidak akan ingat jasa saya langsung," katanya.
Kayveas berkata, beliau sendiri tidak faham gaya pemikiran Murugiah dan ingin mencadangkan agar beliau menjalani rawatan.
Mengulas lanjut beliau berkata, Murugiah pernah membuat kenyataan tidak mahu mencabar Presiden tetapi pihaknya kemudian menerima aduan beliau memberikan wang kepada bahagian-bahagian bagi mendapatkan sokongan untuk berbuat demikian.
"Lepas itu dia minta ROS haramkan PPP, saya tidak faham apa yang dia hendak sebenarnya," kata beliau.
Kayveas turut melabelkan Murugiah sebagai bekas 'kroninya' yang paling bermasalah.
Mengenai beberapa dakwaan yang dilontar Murugiah, Kayveas mempersoalkan kembali mengapa beliau tidak mengketengahkan perkara-perkara itu jika merasakannya tidak betul semasa hampir 10 tahun berada dalam Majlis Tertinggi (MT) parti itu.
"Hampir 10 tahun duduk dalam MT kenapa tidak persoalkan semua ini, kenapa sekarang tiba-tiba berani," katanya.
Berhubung dakwaan kenyataan kewangan PPP tidak pernah dibentangkan, Kayveas berkata, PPP adalah sebuah parti yang tidak memiliki wang yang banyak.
"Kita tidak ada kewangan untuk dibentang pun," katanya.
No comments:
Post a Comment