Tuesday, May 19, 2009

Anifah diminta dedah tawaran pembangkang

Anifah diminta dedah tawaran pembangkang


KUALA LUMPUR: Menteri Luar, Datuk Anifah Aman diminta mendedahkan pelbagai tawaran lain yang pernah dibuat pihak pembangkang kepadanya untuk melompat parti.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata melalui pendedahan itu rakyat dapat menilai sikap dan pendirian sebenar pemimpin pakatan itu dalam memenuhi cita-cita politik mereka.

“Kalau mereka lakukan (buat tawaran), mereka katakan mereka beretika, tapi kalau kita lakukan mereka kata kita tak beretika.

“Saya harap dalam perkara ini Anifah mendedahkan banyak lagi perkara yang berlaku ketika beliau tidak menerima tawaran sebagai Timbalan Menteri.

“Pada masa itu kononnya Anifah merajuk dan ketika itulah pakatan pembangkang mengambil peluang membuat pelbagai tawaran termasuk jawatan kedua tertinggi di negara kita. Itulah angan-angan Mat Jenin yang dilakukan oleh pakatan pembangkang kepada mereka yang dirasakan kecewa,” katanya ketika ditemui selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pertahanan di sini, semalam.

Kelmarin, Anifah yang juga Menteri Luar dilaporkan berkata, beliau sedia disaman dan tidak akan meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menawarkannya jawatan Timbalan Perdana Menteri sebagai umpan melompat parti selepas pilihan raya umum 2008.

Ahli Parlimen Kimanis itu pernah menolak tawaran menyertai pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.

No comments: